Menurut National Embryo Donation Centre (NEDC), bayi bernama Emma Wren Gibson itu dilahirkan pada 25 November lalu di Knoxville, Tennessee yang kelahirannya hanya diumumkan minggu ini.

Embrio berkenaan hasil daripada persenyawaan benih pasa­ngan lain sebelum dibekukan pada 14 Oktober 1992.

Pengarah Pemasaran NEDC, Mark Mellinger berkata, wanita yang melahirkan bayi tersebut, Tina Gibson dilahirkan pada 1991, menjadikan embrio itu lebih muda setahun daripada ibunya.

Dalam satu temu bual, Gibson yang kini berusia 26 tahun menyifatkan anaknya mungkin menjadi teman baiknya sekarang.

Kata Gibson, dia tidak pernah dimaklumkan oleh doktor tentang embrio itu sehinggalah dirinya hamil menerusi embrio yang dibekukan lebih 24 tahun tersebut.

“Pada ketika itu saya hanya mampu melihat mereka dan berseloroh, adakah anda bergurau?,” soalnya.

Mellinger dalam pada itu berkata, Gibson dan suaminya memilih embrio itu berdasarkan profil ciri genetik namun tidak maklumkan tentang tempoh embrio berkenaan sudah dibekukan.

Jelasnya, doktor menggunakan tiga embrio beku ke atas Gibson namun hanya satu embrio yang berjaya.

“Kes ini menjadi embrio beku paling lama yang berjaya sehingga dilahirkan,” katanya.

Bagaimanapun, beberapa pakar mendakwa NEDC perlu berhati-hati dalam membuat dakwaan rekod itu.

Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan IVF di New Hope Fertility Centre di New York, Zaher Merhi berkata, syarikat di AS tidak disyaratkan untuk melaporkan usia embrio sebaliknya perlu menyatakan kejayaan kehamilan sahaja. – AFP