Anias dan Jadon McDonald yang berusia 13 bulan kini stabil selepas menjalani pembedahan yang ‘mendebarkan’ di Hospital Montefiore di sini sejak kelmarin ketika doktor bedah hampir berputus asa untuk meneruskan operasi berkenaan.

Pakar bedah, Dr. James Goodrich seperti dipetik Mail Online sebagai berkata, agak menakjubkan apabila pasukannya berjaya menyelesaikan proses pembedahan yang rumit itu.

Menurutnya, ketika pembedahan sudah separuh jalan, pasukan perubatan mahu menghentikan prosedur apabila bayi berkenaan didapati berkongsi lebih banyak tisu otak berban­ding apa yang dijangkakan walaupun menggunakan persediaan imej tiga dimensi 3D.

“Hal demikian kerana setiap kali pemisahan tisu, degupan jantung Anias dan tekanan darahnya turun secara mendadak sehingga pasukan perubatan menemukan bukaan dan meneruskan operasi tersebut sehingga selesai.

“Bagaimanapun, ketika Jadon dibawa keluar daripada wad bedah, Anias masih memerlukan pembedahan susulan pada pagi semalam,” katanya.

Anias akhirnya disatukan de­ngan keluarga mereka pada pukul 1 petang semalam dan menurut doktor, bayi itu mungkin berdepan masalah fizikal.

Sementara itu, ibu bapa kepada bayi berkenaan, Nicole dan Christian dari Chicago, Illinois menunggu dengan sabar ketika pembedahan selama 20 jam tersebut berlangsung.

Nicole menjelaskan tentang butiran pembedahan itu kepada Facebook ketika pengguna internet mengikuti perkembangan prosedur tersebut.

“Anias mengalami sedikit gangguan dalam pembedahan itu dan kini terserah bagaimana dia akan pulih,” ujarnya.

Anias dan Jadon dilahirkan menerusi kaedah pembedahan di Chicago September tahun lalu dalam keadaan kepala mereka bercantum.