Beberapa individu dilihat mengangkut batu purba kerajaan Majapahit ke dalam lori di Dusun Bendo, Desa Kumitir, Mojokerto, Jawa Timur. Merdeka.com

Kubu berkenaan yang berukuran 1,800 meter persegi terletak dalam tanah kebun persendirian milik Tuminah yang telah meninggal dunia.

Menurut penduduk kampung, Mohammad Yasin, 57, kubu itu telah dimusnahkan sejak dua tahun lalu.

“Kawasan ini merupakan sebuah bukit kecil yang digali dan ditemukan batu merah purba. Namun, penemuan itu tidak dipedulikan kerana tanah ini milik persendirian,” ujarnya.

Menurutnya, sejak lima bulan lalu, kawasan itu telah disewa oleh seorang lelaki bernama Badri yang juga warga setempat bagi mendapatkan tanah untuk tambakan, manakala batu-bata itu dibuang atau dijual kepada pihak yang ingin memilikinya.

“Dahulu, batu purba ini dibuang sahaja kerana tanahnya digunakan untuk pembuatan bata merah tetapi setelah tanah ini disewa, batu-bata berkenaan diangkut menggunakan lori. Lokasi batu itu dibawa tidak diketahui,” ujar Mohammad Yasin.

Bagaimanapun isu pemusnahan itu sedang disiasat oleh pihak polis dengan mengambil keterangan daripada pemilik tanah dan penyewanya. Pihak polis juga sedang mencari lokasi penyimpanan batu berkenaan.

“Kami sedang menyiasat kerana kemungkinan pemilik dan mereka yang mengambilnya tidak mengetahui bahawa batu ini adalah bahan sejarah yang tidak boleh diambil. Jika mereka mengetahuinya dan sengaja mengambilnya, maka kami akan menahan mereka,” kata Ketua Polis Mojokerto, Rachman Iswan Nusi.

Walaupun kes kemusnahan batu purba itu telah lama berlaku, namun pihak berkuasa Desa Kumitir tidak mengetahui mengenainya.

Ketua Desa Kumitir, Beny berkata, beliau hanya mengetahui kawasan itu milik Tuminah yang disewakan kepada Badri untuk kerja-kerja pengambilan tanah.

“Selama ini, saya tidak tahu batu itu merupakan peninggalan kerajaan Majapahit kerana kawasan itu milik persendirian,” katanya. – MERDEKA.COM