Loji tenaga boleh diperbaharui itu terletak di Jamestown, kira-kira 200 kilometer di utara Adelaide dan disambungkan ke ladang ­angin yang dikendalikan oleh syarikat tenaga Perancis, Neoen.

Bateri 100 megawatt yang dibina oleh Tesla itu secara rasmi diaktifkan hari ini walaupun dilaporkan sudah mula menyalurkan kuasa sejak semalam bagi memenuhi permintaan tinggi ekoran cuaca panas.

“Sejarah baharu tercipta di Australia Selatan hari ini.

“Kami kini mengetuai dunia dalam penyaluran tenaga boleh diperbaharui ke setiap kediaman dan perniagaan selama 24 jam setiap hari,” kata Ketua Mente­rinya, Jay Weatherill ketika majlis pelancaran bateri gergasi itu.

Pengasas Tesla, Elon Musk membina sistem yang diberi nama Powerpack, untuk menyalurkan tenaga elektrik kepada lebih 30,000 rumah di Australia Selatan yang terjejas teruk sejak dilanda bencana ribut tahun lepas.

Pada 30 Semptember lalu, Musk berjanji untuk membina projek tenaga tersebut dalam tempoh 100 hari namun pihaknya berjaya menyiapkan bateri terbesar itu dalam tempoh hanya 60 hari sahaja.

“Tesla berharap projek itu akan menjadi perintis kepada penyaluran tenaga seumpama ini seluruh dunia pada masa hadapan.

“Usaha ini juga membuktikan penyelesaian tenaga yang berkesan dan mampan kini mampu dilaksanakan dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam satu ke­nyataan. –AFP­