Lapor BBC, bas diberi na­ma Catalyst E2 Max dengan ukuran panjang 12 meter ha­sil rekaan syarikat Proterra yang berpangkalan di California itu mencatat rekod tersebut di New Carlisle, di sini baru-baru ini.

Rekod sebelum ini mencatatkan perjalanan sejauh 1,631 kilometer menggunakan sebuah kenderaan penum­pang elektrik yang 46 kali lebih ringan berbanding bas berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Proterra, Ryan Pop­ple, kejayaan itu memberi idea kepada syarikat itu untuk menghasilkan lebih ba­nyak kenderaan elektrik (EV) yang lebih berat seperti bas persiaran dan lori.

“Semakin banyak syarikat berminat untuk memasuki pasaran EV berat dan perkara itu jelas menggambarkan penggunaan elektrik pada ma­sa hadapan,” katanya.

Bateri yang digunakan da­lam perjalanan tersebut mempunyai kapasiti simpanan te­naga sebanyak 660kWh.

Setakat ini, Proterra menjual lebih 400 buah bas kepada majlis daerah, universiti dan agensi pengangkutan komersial di 20 buah negeri di seluruh Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, aktivis alam sekitar, Rosie Rogers menyatakan bahawa terda­pat beberapa syarikat yang menganggap teknologi masih belum bersedia untuk mempelopori revolusi kenderaan elektrik.

Namun, kejayaan yang dicatatkan oleh Proterra membuktikan bahawa semua pihak perlu ada cita-cita dan keazaman untuk menjadikan revolusi itu berjaya, sekali gus boleh mewujudkan alam sekitar yang lebih sihat pada masa akan datang.

Di Eropah, Norway menjadi negara paling banyak menggunakan kenderaan elektrik dengan jumlah 100,000 buah kereta direkodkan, manakala London mempunyai rangkaian bas elektrik terbesar di Eropah dengan memiliki 2,500 bas hibrid.