Al-Jazeera melaporkan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kenyataan memaklumkan, sumber tersebut me­ngandungi bijirin mencukupi untuk diberikan kepada jutaan penduduk Yemen yang berdepan masalah kebuluran ketika ini.

Namun, bekalan itu tidak dapat disalurkan kerana masih disimpan di dalam gudang yang sekian lama ditutup.

“Bijirin hasil sumbangan program makanan dunia itu disimpan di dalam gudang ber­kenaan. Bekalan tersebut cukup kepada 3.7 juta penduduk dan boleh dimanfaatkan untuk tempoh sebulan.

“Tetapi laluan ke gudang itu ditutup setelah hampir lima bulan. Bijirin yang dibiarkan akan mengalami kerosakan,” jelas kenyataan itu.

Pemberontak Houthi me­nguasai Hodeidah dan gudang simpanan makanan sejak 2014 setelah kumpulan bersenjata itu merampas sejumlah besar ladang di wilayah Yemen.

Tindakan itu mengakibatkan campur tangan ketenteraan Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan sekutu-sekutu lain sehingga tercetusnya krisis kemanusiaan terburuk di dunia.

Sekurang-kurangnya 10 juta penduduk Yemen di ambang kebuluran.

Wakil PBB, Martin Griffiths berkata, pemberontak menunjukkan usaha untuk membuka laluan ke gudang tersebut.

Terdapat pihak yang membuat permohonan terbuka kepada pembe­rontak Houthi minggu lalu agar membenarkan bantuan kemanusiaan memasuki kawasan tersebut bagi membolehkan sumbangan di­salurkan kepada penduduk yang memerlukan.