Palang Marah, satu-satunya agensi dibenarkan kerajaan memasuki wilayah bergolak itu mendakwa mereka bukan sahaja berdepan cuaca buruk, kerenah birokrasi dan kesukaran muka bumi Rakhine, malah kemarahan kumpulan perusuh etnik Rakhine.

Mereka menuduh kumpulan bantuan asing itu hanya membantu orang Islam.

Rabu lalu di Sittwe, ibu negeri Rakhine, sekumpulan perusuh cuba menyekat sebuah bot yang membawa bantuan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah ke utara, tempat bermulanya sera­ngan pejuang Rohingya pada 25 Ogos lalu sehingga arahan dikeluar­kan bagi menghapuskan pembe­rontakan tersebut.

Perusuh bersenjatakan kayu, pisau dan bom petrol hanya di­suraikan selepas polis melepas peluru getah.

Empat hari sebelum itu, trak palang merah turut dihalang dan digeledah penduduk Rakhine di Sittwe.

“Dengan ketegangan memuncak di Rakhine, kakitangan kemanusiaan dan kontraktor persendirian berdepan cabaran getir da­lam melaksanakan aktiviti menyelamatkan nyawa,” kata jurucakap Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan di Myanmar, Pierre Peron.

Peron menjelaskan, banyak aktiviti kemanusiaan yang dijalankan sebelum 25 Ogos masih tidak dapat diteruskan.

“Justeru, demi kepentingan kesemua penduduk dalam semua komuniti di Rakhine, langkah segera perlu diambil bagi membenarkan aktiviti kemanusiaan yang penting ini kembali ke Rakhine,” katanya.

Berhampiran Sittwe, pergerakan sebanyak 140,000 etnik Rohingya yang berpindah akibat pergolakan agama sebelum ini terbatas di kem mereka dengan hanya bergantung kepada bantuan asing yang dihadkan sejak krisis bermula 25 Ogos lalu.

Kira-kira 6,000 etnik Buddha Rakhine turut melarikan diri dari Sittwe tetapi mereka mendapat perlindungan daripada kerajaan dan sukarelawan Rakhine.

Dalam perkembangan be­r­kai­tan, pelarian Rohingya yang berlindung di kem penempatan sementara di Bangladesh berdepan masalah kelaparan dan penyakit di tempat yang sepatutnya memberi perlindungan kepada mereka.

Seorang pelarian di Kem Kutupalong, Noor Shafah yang ditemui portal ABC berkata, dia perlu memastikan perutnya kosong dengan sengaja dan tidak makan nasi dengan banyak bagi mengelak perlu ke tandas.

Ujarnya, ini kerana tidak ada tandas di kem berkenaan dan dia perlu ke kawasan belukar untuk menunaikan hajat,” katanya,

Malah oleh kerana jumlah pelarian terlalu ramai, mereka berdepan masalah kekurangan makanan, air minum, tandas dan pelbagai masalah lain.

Di tebing sungai berhampiran kem itu, kanak-kanak dapat dilihat mandi-manda manakala wanita memasak nasi menggunakan sumber air sama, dengan najis manusia dapat dilihat me­rata-rata.

Menurut kakitangan Medecins Sans Frontieres berkata, kekura­ngan kemudahan dan imunisasi kepada pelarian menyebabkan mereka terdedah kepada penya­kit berjangkit. – AGENSI