Penduduk di pantai barat pu­lau Sulawesi yang terdesak mencari apa yang boleh dimakan di kebun dan di ladang ketika kerajaan bergelut untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air, makanan, tempat perlindungan dan bahan api dalam zon bencana, dengan ketiadaan bekalan elektrik dan komunikasi terhad.

Malah, kekacauan tidak dapat ditolak apabila para penduduk bandar Palu berang dan berlaku kegiatan mencuri selain mereka bertindak menyerbu lapangan terbang yang kecil itu, untuk menaiki pesawat keluar daripada zon bencana.

Jumlah rasmi angka kematian akibat gempa dengan kekuatan 7.5 pada skala Richter Jumaat lalu meningkat kepada 1,411 orang, dengan kebanyakannya terkorban akibat ombak tsunami dan juga berlaku tanah jerlus selepas gempa.

Kebanyakan angka kematian melibatkan mangsa yang terbu­nuh di Palu manakala kehilangan nyawa di kawasan terpencil tidak diketahui berikutan komunikasi terputus manakala jambatan dan jalan raya pula musnah atau tersekat akibat tanah runtuh.

Sementara itu, bantuan antarabangsa kini dipergiatkan selepas kerajaan Indonesia bersetuju untuk menerima bantuan asing.

Secara keseluruhan, kira-kira 20 buah negara telah menawarkan bantuan.

“Kerajaan Indonesia berpengalaman dan memiliki kelengkapan dalam menguruskan bencana alam, tetapi ada masanya, bantuan luar juga diperlukan,” kata Penolong Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Mark Lowcock dalam satu kenyataan.

Beliau mengumumkan peruntukan sebanyak AS$15 juta (RM62.1 juta).

Persekutuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa berkata, pihaknya me­rayu bantuan sebanyak AS$22 juta (RM91 juta) untuk membantu mangsa bencana di Indonesia.

Amerika Syarikat (AS) telah menyediakan pembiayaan awal, menghantar pakar bencana dan sedang berusaha menentukan bantuan lain yang boleh diberikan, kata Jabatan Negara awal minggu ini.

Beberapa bantuan dari Britain dan Australia juga akan tiba pada hari ini.

Di Palu, beberapa kedai dan bank dibuka semula pada hari ini dan rangkaian telefon mudah alih utama kembali beroperasi.

Suasana tenang seolah-olah kembali ke asal dengan penggu­na jalan raya beratur di stesen minyak selepas ketibaan penghantaran bahan api.

Dalam perkembangan yang sama, pertubuhan Save the Chil­dren menyatakan kebanyakan kanak-kanak yang terpisah dengan keluarga mereka masih dalam keadaan trauma.

Katanya, kebanyakan remaja tidur di atas jalan raya di antara sisa runtuhan di bandar Palu dan pihak berkuasa digesa segera me­ngenal pasti dan menyatukan ka­nak-kanak berkenaan dengan ahli keluarga mereka. –REUTERS/AFP