Sekumpulan remaja dikenali sebagai Black Blocs membakar restoran makanan segera, McDonald’s berdekatan stesen Austerlitz, timur pusat bandar Paris.

Mereka juga membakar beberapa kenderaan di kedai kereta selain menconteng lukisan grafiti di tembok.

“Macron (Presiden Emmanuel Macron) menyebabkan kami marah. Kami sudah penat dengan sistem kapitalis yang merosakkan segala-galanya dan penindasan polis terhadap sesiapa yang menentang,” kata seorang pelajar berusia 19 tahun yang enggan didedahkan identitinya.

Seramai 1,200 orang berpa­kaian jaket hitam dan topeng muka membantah pengumuman tentang perubahan dalam sektor awam oleh Presiden Emmanuel Macron.

Polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk me­leraikan penunjuk pe­rasaan terbabit.

“Sebanyak 31 premis musnah, dua daripadanya dibakar, enam kenderaan turut dibakar manakala 10 lagi rosak teruk,” menurut polis tempatan.

Seramai empat orang, termasuk seorang anggota polis cedera ringan dalam bantahan itu.

Dalam pada itu, Macron mengutuk insiden berkenaan dalam Twitter rasmi­nya.

“Kami akan pastikan dalang kejadian itu dikenal pasti dan dipertanggungjawabkan atas tindakan mereka,” tegas Macron.

Sementara itu, jurucakap kerajaan, Benjamin Griveaux mengkritik tindakan penunjuk pe­ra­saan yang menutup muka mereka.

“Sekiranya kamu berniat ikh­las, kamu akan mengadakan ban­tahan dengan tidak memakai topeng. Sesiapa yang memakai topeng itu adalah musuh demokrasi,” ujar­nya.

Sebelum ini, kesatuan se­kerja mengadakan bantahan selama tiga bulan apabila Macron mahu melakukan pembaharuan besar-besaran terhadap syarikat pengendali kereta api kerajaan SNCF.

Berpuluh ribu guru, jururawat dan beberapa pekerja dalam bidang lain turut menyertai kakitangan kereta api berhimpun pa­da Mac lalu.

Macron enggan menarik balik keputusannya itu. – AGENSI/AFP