Syarikat terbesar Australia itu memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat menemukan dua pita data magnetik yang menyimpan nama, alamat, nombor akaun dan butiran transaksi dari tahun 2000 hingga 2016.

Stesen penyiaran ABC mela­porkan, kesemua rekod itu sepatutnya dilupuskan oleh subkontraktor selepas menamatkan pusat data, namun bank tersebut tidak pernah menerima dokumentasi untuk mengesahkan kes tersebut.

Bank itu memaklumkan kepada semua pelanggannya tiada apa yang perlu dirisaukan selagi pita berkenaan tidak mengandungi kata laluan, nombor PIN atau data yang boleh digunakan untuk penipuan.

Bank Komanwel mendedahkan insiden itu selepas media Australia melaporkan mengenai siasatan forensik bebas pada 2016 berhubung pita tersebut mungkin sudah dilupuskan.

Bank tersebut turut menyatakan bahawa isu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan sera­ngan siber dan tiada kompromi terhadap platform teknologi, sistem, perkhidmatan, aplikasi serta laman web syarikat itu.

Jurucakap bank tersebut, Angus Sullivan berkata, pihak bank memandang serius mengenai per­lindungan data pelanggan dan insiden yang berlaku tidak boleh diterima.

“Saya ingin beri jaminan kepa­da semua pelanggan bahawa pi­hak bank sudah mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi data anda dan kami memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya.

Sullivan juga memaklumkan pe­langgan memperoleh 100 peratus jaminan terhadap penipuan yang secara jelas bukan salah mereka.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pengawal selia yang berkaitan sudah dimaklumkan mengenai perkara tersebut pada 2016 dan kami telah melakukan penyiasatan forensik secara teliti, termasuk memberi maklumat kepada pihak berwajib selepas semua siasatan selesai.

Ujar Sullivan, pihak bank juga akan memantau akaun pelanggan bagi memastikan tiada sebarang kompromi terhadap data-data. – AFP