Menurut Bangkok Post, kawasan yang terjejas adalah di Phatthalung, Yala, Trang, Narathiwat dan Nakhon Si Thamarat.

Lapor akhbar itu, di Phatthalung, sebanyak 507 buah kampung di 11 buah wilayah mengalami banjir, menyebabkan 58,676 penduduk tempatan terjejas.

Laluan lebuh raya Asian dan Phetkasem menuju ke Phatthalung, masih lagi dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kende­raan kecil.

Selain itu, seorang penduduk kampung Moo 7 di mukim Don Sai di daerah Khuan Khanun, Somjit Songchudam, 59, dilaporkan mati lemas selepas terjatuh ke dalam tali air dan dihanyutkan oleh arus air deras.

Di wilayah Yala, saliran air di Sungai Sai Buri yang mengalir melalui enam buah mukim dalam daerah Raman kembali normal di beberapa buah kawasan manakala 10 buah sekolah di situ ditutup kerana la­luan masih lagi dinaiki air banjir.

Sementara itu, di wilayah Trang, saliran air deras dari sekitar pergunungan Banthat menyebabkan beberapa kawasan di daerah Nayong dan Muang banjir sejak tiga hari lalu, telah mula memasuki Perbandaran Trang dari Timur dan membanjiri Kaphang Surin, Phraya Rassadanuprasit Monument, Khuan Khan, Khuan Khanun serta penduduk stadium sukan.

Dalam pada itu, di Nakhon Si Thanmarat, saliran air dari gunung Banthat telah menyebabkan banjir kilat di beberap kawasan, khususnya daerah Thung Song.

Ketua daerah Chulabhorn, Paiboon Nakthippiman berkata, enam buah mukim di daerah berkenaan mengalami banjir, menyebabkan 9,800 keluarga terjejas.

Ini berikutan paras air di sesetengah kawasan sedalam tiga meter, mengakibatkan kebanyakan rumah dinaiki air dan gangguan bekalan elektrik menjejaskan penduduk tempatan.

Dalam perkembangan sama, situasi banjir di beberapa kawasan, terutamanya di daerah Thung Song, Nakhon Si Thanmarat telah memaksa perkhidmatan bas dari Bangkok ke Selatan, diberhentikan serta merta.