Di Thailand, banjir yang berlaku akibat hujan lebat sejak 5 Julai lalu itu dilaporkan telah meragut 27 nyawa dan menjejaskan hampir satu juta penduduk tempatan.

Menurut Jabatan Pencegahan Bencana dan Mitigasi Thailand, kesemua yang maut termasuk empat orang yang dipercayai lemas dalam kejadian terbaharu kelmarin.

Kementerian Dalam Ne­geri Thailand pula mendakwa, sekurang-kurangnya 10 buah wilayah terjejas akibat bencana itu dengan kebanyakannya terletak di bahagian timur laut negara ini.

Kementerian berkenaan turut menganggarkan jumlah kerugian ketika ini mencecah AS$300 juta (RM1.28 bilion).

Banjir kilat itu juga didakwa memusnahkan lebih 2,300 kilo­meter persegi sawah padi sekali gus memberi kesan kepada Thailand selaku negara pengeksport beras kedua terbesar dunia selepas India.

Sementara itu, banjir di utara Vietnam pula telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa setakat ini manakala 24 mangsa lagi dipercayai masih hilang.

Enam daripada mangsa yang terkorban dilaporkan dari wilayah Son La, dua dari Yen Bai dan satu dari wilayah Lai Chau.

Mangsa yang masih hilang itu juga dikatakan berasal dari ketiga-tiga buah wilayah yang sama.

Menurut jawatankuasa ber­kaitan, bencana itu turut memusnahkan hampir 200 buah rumah secara keseluruhannya melibatkan kerugian kasar sekitar AS$23 juta (RM98.45 juta). – DPA