Taufan Harvey yang kini berubah menjadi ribut tropika dan dilaporkan mulai membadai Louisiana, telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa dan lebih 30,000 penduduk dipindahkan.

Pasukan keselamatan ber­tung­kus-lumus menyelamat dan memindahkan penduduk yang masih terperangkap di sekitar bandar raya ini.

Menurut jurucakap pihak berkuasa di daerah Harris, Tricia Bentley, Harvey mengorbankan enam orang di daerah tersebut termasuk seorang lelaki terbunuh apabila rumahnya terbakar dan seorang wanita tua lemas ketika memandu meredah banjir.

Seorang lagi wanita berusia 60 tahun maut di daerah Montgomery apabila pokok menghempap rumah treler yang didudukinya ketika dia tidur, manakala ramai lagi dilaporkan hilang dan angka korban turut dijangka meningkat.

Perkhidmatan Kaji Cuaca AS dalam pada itu meramalkan paras air satu daripada tiga batang sungai utama di Houston akan mencapai paras maksimum iaitu 59 meter pada bila-bila masa hari ini.

Peningkatan paras sungai dan empangan memaksa lebih ba­nyak penduduk di derah Brazoria, Galveston dan Fort Bend dipindahkan.

Harvey diramalkan berterusan untuk beberapa hari berserta hujan lebat dan banjir dijangka boleh merebak ke Lousiana.

Beberapa buah sekolah, bangunan dan kediaman di kawasan bandar juga ditutup ekoran ditenggelami air sehingga paras dada.

Banjir yang melanda Houston boleh menyebabkan kerugian sehingga AS$20 bilion (RM85.4 bilion). – REUTERS