Sejak beberapa minggu lalu, tindakan para pelajar terbabit menyebabkan beberapa bahagian di ibu negara ini lumpuh.

Tunjuk perasaan itu diadakan bagi membantah tahap keselamatan jalan raya yang lemah ekoran kematian dua remaja yang dilanggar oleh sebuah bas yang dipandu laju.

Semalam tunjuk perasaan itu bertukar ganas di Jigatala di sini menyebabkan lebih 100 orang cedera.

Saksi memberitahu, pihak polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata ke arah penunjuk perasaan manakala aktivis penyokong kerajaan didakwa menyerang pelajar terbabit menyebabkan ramai yang terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Akhbar Prothom Alo yang mem­punyai edaran tertinggi di negara ini melaporkan per­khidmatan internet 3G dan 4G ditutup 24 jam sejak semalam sebaik sahaja tercetusnya ke­ga­nasan.

Media sosial pula dipenuhi dengan rungutan penduduk Bangladesh yang gagal meng­akses internet melalui telefon masing-masing walaupun tiada gangguan pada rangkaian wayarles.

Pengerusi Suruhanjaya Ka­wal Selia Telekomunikasi Bang­ladesh (BTRC), Jahirul Haq berkata, pihaknya menerima ‘keputusan’ itu daripada kerajaan tetapi tidak menjelaskan bentuk arahan yang diterima.

Seorang pegawai kanan te­le­kom yang enggan dikenali memberitahu, BTRC telah memperlahankan internet atas arahan kerajaan.

Tindakan itu dikatakan di­lakukan bertujuan untuk mengehadkan pergerakan dan penyebaran rasa tidak puas hati para pelajar terhadap cara kerajaan mengendalikan tunjuk perasaan berkenaan.

Ini ekoran berlaku pertempuran antara pelajar dengan pihak polis serta sekumpulan lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan kayu dan batu.

Pihak polis menafikan mereka melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata kepada penunjuk perasaan namun ka­ki­tangan hospital melaporkan berpuluh-puluh mangsa cede­ra dan ada yang kritikal akibat terkena tembakan peluru ber­ke­naan. – AFP