Di dalam pusat berkenaan, pengendali memastikan lebih 300 aplikasi mudah alih berfungsi dengan lancar dan memeriksa apakah perkataan yang sedang tular di media sosial di Bandung supaya segala masalah boleh diselesaikan dengan cepat serta efisien.

“Haiwan liar memasuki kediaman adalah aduan paling pelik. Ular, tebuan dan tupai.

“Kami memanggil jabatan bomba dan menyuruh mereka menyelesaikan isu terbabit. Per­kara seperti ini membuatkan kerja lebih menyeronokkan,” kata pengendali media sosial, Dyar Dwiqi.

Pusat arahan yang berope­rasi 24 jam sehari itu merupakan salah satu perubahan yang dilakukan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini untuk cuba meningkatkan kemampa­nan, mengurangkan pe­­le­pasan bahan penyumbang kepada perubahan iklim serta menjadikan Bandung lebih mudah didiami.

Bandar-bandar di rantau Asia Pasifik telah menyaksikan pertumbuhan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam tempoh dua dekad lalu.

Tahun ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meng­anggarkan lebih separuh penduduk di rantau ini buat pertama kalinya akan tinggal di bandar.

Namun seiring dengan per­kembangannya, bandar-bandar di Asia juga perlu menangani punca pencemaran karbon seper­ti pengangkutan, pemanasan, penyejukan dan pembaziran.

Tanpa tindakan tegas, dunia akan terlepas daripada matlamat yang ditetapkan Perjanjian Paris 2015 iaitu mengekang pemanasan global.

Menurut saintis, berbilion penduduk dunia akan berdepan ribut yang lebih dahsyat, kemarau berpanjangan, kegagalan tanaman dan bencana lain se­perti dialami hari ini.

Untuk berdepan dengan ancaman itu, bandar membangun dengan cepat seperti Bandung sedang mencuba teknologi yang bertujuan menyumbang kepada penyelesaian pemanasan global dan memperbaiki taraf kehidupan penduduk di situ.

Bandar lain di Indonesia turut menjalankan ‘program hijau’ tetapi pakar bandar berkata beberapa perubahan, pelaksanaan yang pantas dan penggunaan teknologi inovatif menjadikan Bandung lebih menonjol.

Di pusat arahan bandar ter­sebut misalnya, seramai 27 pengendali boleh memeriksa ka­wasan tumpuan pengguna ken­deraan dalam usaha untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Mereka juga boleh menggu­nakan sistem alamat awam untuk menghalang pengguna jalan raya daripada menggunakan telefon bimbit atau tidak memakai topi keledar.

“Saya suka kerja ini. Pekerjaan saya penting kerana ia membantu orang ramai berhubung dengan kerajaan dan perkhidmatan,” ujar Dwiqi.

Dikelilingi gunung-ganang, Bandung pernah dikenali sebagai ‘Paris of Java’ kerana iklim sejuk, taman dan ladang teh di sekeli­lingnya, sekali gus menjadikannya sebagai tempat percutian hujung minggu yang santai.

Pemaju ketika zaman kolonial Belanda merancang untuk membina bandar yang hanya boleh diduduki oleh 300,000 orang sahaja.

Namun pertumbuhan popu­lasi di Bandung meningkat mendadak kepada 2.4 juta orang, sekali gus menyebabkan 1.4 juta kenderaan terpaksa berdepan masalah kese­sakan lalu lintas dan jalan raya sempit.

Selain pencemaran udara dan kesesakan lalu lintas, penduduk Bandung perlu berdepan dengan masalah infrastruktur yang dimamah usia, pengangkutan awam terhad, banjir dan gempa bumi.

Walau bagaimanapun, pakar berkata, kebanjiran universiti dan populasi pelajar yang ramai menjadikan bandar terba­bit amat sesuai untuk inovasi serta pelaburan.

“Memandangkan ia adalah bandar yang sangat menarik, orang ramai mulai tertumpu ke pusat bandar.

“Bandung menarik minat syarikat daripada industri per­kilangan dan perkhidmatan serta mempunyai universiti yang baik, bermaksud ia mempunyai asas dari segi potensi ekonomi,” ujar penyelaras pertumbuhan hijau dan polisi bandar di Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Tadashi Matsumoto.

Penggerak di belakang revolusi di Bandung ialah Ridwan Kamil, yang dipilih sebagai Datuk Bandar pada 2013.

Dalam usaha untuk mengubah Bandung, Ridwan memperkenalkan 30 dasar baharu, kebanyakannya bertujuan me­ngurangkan pelepasan karbon.

Menurut Ketua Jabatan Pembangunan, Perancangan dan Penyelidikan Bandung, Hery Antasari, bandar terbabit menjalankan ujian pelepasan terhadap pengangkutan awam serta swasta setiap tiga bulan.

Kenderaan yang mengeluarkan banyak asap dilarang di jalan raya tetapi kenderaan persendirian yang mengeluarkan sedikit asap diberikan pelekat tempat letak kereta khas.

Sebanyak 30 taman awam di Bandung telah dijadikan lebih mesra keluarga, sementara masyarakat digalakkan untuk membersihkan sampah di jalanan, membina taman kecil atau ruang hijau di kawasan mereka atau memulakan tanaman di belakang atau di atas bumbung rumah.

Susulan pengenalan dasar-dasar dan pelaksanaan program hijau berkenaan, Bandung berjaya meraih anugerah udara terbersih daripada ASEAN tahun lalu.