Individu tersebut, Anwar Kim An dipercayai memperoleh pakai-an dan aksesori wanita itu daripada isterinya yang menyeludup barangan berkenaan ke penjara semasa melawat suaminya sempena Aidilfitri baru-baru ini.

Jurucakap polis Jakarta, Awi Setiyono berkata, isteri Anwar memberi pakaian itu semasa bertemu dalam bilik pertemuan.

“Dia memakai gincu dan kemudian berjalan keluar seperti seorang wanita bersama-sama isteri dan dua anaknya,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) penjara yang diperoleh menunjukkan Anwar yang berusia lingkungan 20-an berjalan ke­luar dari penjara dengan memakai pakaian wanita dan cermin mata gelap sambil memegang tangan salah seorang anaknya.

Jurucakap polis menambah, banduan itu berjaya menukar pakaian secara diam-diam berikutan keadaan bilik pelawat yang sesak dan hanya dikawal oleh beberapa orang pengawal.

Beliau juga mengaku tiada pemeriksaan keselamatan dilakukan terhadap pelawat wanita berbanding pelawat lelaki.

Pihak polis telah melancarkan gerakan mengesan banduan tersebut yang menghadapi hukuman penjara seumur hidup dan ditempatkan di dalam penjara itu sejak empat bulan lalu.

Menurut beliau, isteri Anwar telah disoal siasat kerana disyaki membantu suaminya melarikan diri namun tidak ditahan kerana mempunyai dua anak kecil yang perlu penjagaan. – AFP