Detik News melaporkan, ke­semua tahanan tersebut kembali ke pusat berkenaan selepas memastikan keadaan keluarga mereka akibat bencana yang berlaku.

Selain itu, pihak penjara juga menggesa mana-mana tahanan yang masih bebas supaya menyerahkan diri secara terus atau tidak langsung.

Ketua Pusat Tahanan Palu, Nanang R. berkata, sehingga hari ini, pusat tahanan tersebut sudah menerima ratusan tahanan dengan anggaran 130 hingga 140 tahanan menyerah diri setiap hari.

“Ada di antara tahanan yang kami tahan terus selepas menyerah diri dan ada juga yang kami berikan sedikit kelonggaran untuk membenarkan mereka membantu ahli keluar­ga yang terkorban.

“Rata-ratanya menyerah diri tanpa paksaan dan mengakui berasa lebih tenang selepas mengetahui keadaan sebenar keluarga masing-masing,” katanya.

Seorang daripada tahanan tersebut, Supriyadi membe­ritahu bahawa dia sedia untuk menyambung hukumannya selepas mengetahui keluar­ganya terselamat daripada bencana yang berlaku.