Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) terhadap 133 buah bandar, Zurich, Geneva dan Osaka di Jepun mengikuti rapat untuk menjadi antara bandar raya paling mahal untuk diduduki.

Lapor Straits Times, kedudukan Istanbul dan Moscow pula semakin menurun berikutan masalah inflasi dan kemerosotan kadar pertukaran mata wang asing.

Penulis kajian, Roxana Slavcheva berkata, buat pertama kali dalam tempoh lebih 30 tahun, ketiga-tiga bandar tersebut berkongsi kedudukan yang sama di tempat pertama.

“Penumpuan kos di bandar-bandar tradisional yang lebih mahal adalah bukti globalisasi dan kesamaan pilihan serta corak berbelanja penduduknya.

“Biarpun ada lokasi yang mana membeli-belah barangan runcit adalah murah, namun utiliti atau harga pengangkutan boleh mendorong kepada peningkatan kos keseluruhan hidup,” katanya, hari ini.

Menurut penganalisis ekonomi, Anthony Breach, peningkatan kos sara hidup di bandar sering dipacu oleh kewujudan kepelbagaian pasaran kerja yang menarik kumpulan pekerja dengan jumlah gaji tinggi.

Oleh itu katanya, golongan perancang bandar perlu berfikir ke hadapan dengan membina lebih banyak rumah untuk menjamin pasaran harga yang mampu milik sekali gus menurunkan kos.

Dalam kajian yang dilakukan oleh EIU itu, penyelidik membandingkan kos kehidupan di 133 bandar terlibat dengan lebih 150 item termasuk kereta, makanan, kadar sewa, pengangkutan dan pakaian.

Sebagai contoh, kos menggunting rambut wanita di Bangalore, India adalah sebanyak AS$15 (RM61) berbanding AS$20 (RM81) di New York.

Bandar-bandar di Britain pula merekodkan beberapa kedudukan baharu dalam tempoh setahun selepas menduduki posisi tercorot selama lebih dua dekad berikutan isu Brexit dengan London berada di tangga ke-22 dan Manchester di tempat ke-51.

Sementara itu, konflik dalaman serta politik yang berlaku di Caracas, Venezuela menjadikannya antara 10 bandar termurah untuk diduduki di dunia diikuti dengan Damsyik, Karachi, Buenos Aires dan New Delhi. – AGENSI