Ketua Polis wilayah, Sugeng Priyanto berkata, maklumat me­ngenai serangan terancang ber­kenaan diperoleh selepas suspek yang dikaitkan dengan pengganas ditahan, baru-baru ini.

“Sehubungan itu, kami mening­katkan kawalan di semua pintu masuk ke Bali. Tumpuan turut diberikan di pelabuhan-pelabuhan kecil di seluruh Bali,” katanya.

Minggu lalu, polis antikeganasan menegaskan sedang menyiasat sama ada suspek militan yang ditahan di Sumatera merancang serangan di Bali.

Selain itu, polis juga mene­mukan bom dan bahan letupan dalam satu serbuan di rumah suspek berkenaan.

Jurucakap Polis Kebangsaan, Agus Rianto memberitahu, dalam soal siasat, suspek mendakwa merancang serangan di Bali.

“Tetapi suspek tidak memberikan butiran lengkap atau garis masa tertentu,” ujarnya.

Pada 2002, sebuah kelab malam diserang oleh kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI), mengorbankan 202 orang, kebanyakannya warga Australia di Kuta dekat sini.

Indonesia baru-baru ini digemparkan dengan kebangkitan semula kumpulan radikal, diilhamkan oleh militan Daesh.

Sebelum ini, pada Januari lalu, satu serangan tembakan dan letu­pan dipercayai didalangi Daesh menyebabkan empat terkorban dan pasukan antikeganasan menahan berpuluh-puluh suspek militan di Jakarta. – REUTERS