Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersama-sama Konsul Kehormat Malaysia di Bali akan sentiasa memantau situasi tersebut dan telah berhubung dengan rakyat Malaysia yang berada di sana.

“Kementerian Luar mengesahkan pihak penguat kuasa Indonesia telah mengeluarkan amaran berjaga-jaga berikutan letusan gunung berapi di sekitar Gunung Agung selain prosedur pemindahan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

“Rakyat Malaysia disarankan sentiasa berwaspada dan mematuhi sebarang arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Indonesia,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tambah kenyataan itu, rakyat Malaysia juga boleh menghubungi pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan Konsul Kehormat Malaysia di Bali untuk bantuan konsular.

“Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Indonesia di alamat: Jl. H.R. Rasuna Said, Kav.X/6, No. 1-3, Kuningan, 12950 Jakarta Selatan atau di talian +6221)5224947; atau +6281380813036 (selepas waktu pejabat sahaja) atau emel ke [email protected]

“Konsul Kehormat Malaysia di Bali, Puri Kumara Sakti, Jalan Bentuyung, Ubud, Gianyar, 90571, Bali atau di talian +62361973182 / +6281237154050 atau emel ke [email protected],” jelasnya. - UTUSAN ONLINE