Theresa May

Berdasarkan jangkaan yang dibuat oleh pusat data undian YouGov, parti pembangkang, Parti Buruh hanya akan memenangi 179 kerusi, parti Liberal Demokrat (100 kerusi), Parti Kebangsaan Scotland (56) manakala lain-lain parti akan memenangi 23 kerusi.

Berdasarkan peratusan undian itu juga, kerajaan dijangka memenangi majoriti 114 kerusi daripada 650 kerusi Parlimen dan pada masa ini parti Konservatif menguasai 330 kerusi di Parlimen.

Sementara itu, Parlimen Bri­tain hari ini meluluskan secara rasmi cadangan May untuk mengadakan pilihan raya lebih awal bertujuan agar beliau mempunyai kekuatan memikul mandat untuk mengharungi rundingan tentang Brexit.

Kata May, keputusannya mengadakan pilihan raya lebih awal daripada tarikh sebenarnya iaitu pada tahun 2020 adalah untuk mengelak pertindihan masa dan situasi genting berikutan run­dingan Kesatuan Eropah (EU) dan pada pilihan raya umum pada masa yang sama.

Berdasarkan jadual yang dirancang, Britain dijangka meninggalkan EU pada Mac 2019 tetapi jika pilihan raya awal diadakan pemimpin berkenaan tidak perlu berdepan dengan pengundi sehinggalah tahun 2022 sekali gus memberinya ruang luas untuk mengendalikan rundingan akhir Brexit.

Akhbar-akhbar berhaluan kanan pro-Brexit menyifatkan keputusan May itu sebagai langkah agresif untuk memperkukuhkan `cengkamannya’ semasa rundingan dengan 27 negara anggota EU dan menghentam pencabarnya di Britain.

Muka hadapan akhbar The Times hari ini menyiarkan tajuk `May akan menang besar dalam pilihan raya’ manakala akhbar Sun pula menyiarkan tajuk `Tentangan Kuat’ di muka hadapannya. – Reuters