Pence memberi alasan bahawa Presiden AS, Donald Trump amat memandang berat perkara tersebut.

“Selepas berdekad-dekad hanya memperkatakan perkara ini, Presiden (Trump) kini memberi perhatian serius untuk memin­dahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis,” katanya dalam ucapan semasa persidangan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC).

Pemindahan kedutaan itu ditentang hebat oleh sekutu-sekutu AS kerana Palestin turut menuntut bandar itu sebagai ibu negara mereka.

Status Baitulmaqdis sepatutnya ditentukan melalui rundingan langsung antara penduduk Israel dan Palestin.

Namun jika AS bertegas mahu memindahkan pejabat itu maka tindakan itu dilihat sebagai pengiktirafan bahawa Baitulmaqdis adalah milik Israel.

Sementara itu, pemimpin terkemuka pendatang haram Yahudi, Yaakov Katz mendakwa jumlah penduduk Israel yang menetap di Tebing Barat meningkat kira-kira 500,000 orang sejak lima tahun lalu.

Kenyataan Katz itu disiarkan selepas wujudnya laporan bahawa rejim Israel telah bersetuju dengan pentadbiran Trump untuk mengehadkan pembinaan dalam kawasan Tebing Barat.

Namun Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu Kabinetnya bahawa `kebanyakan laporan itu tidak benar’.

Pada minggu lalu stesen televisyen Israel Channel 2 melaporkan, Netanyahu yang mengunjungi AS pada bulan lalu telah bersetuju untuk mengehadkan peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Ini sebagai balasan terhadap pembinaan penempatan baharu untuk mereka yang dipindahkan dari Amona baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, pejabat Netanyahu menafikan laporan itu dan menyifatkannya ‘tidak betul’ dan ‘tidak tepat’. – Reuters/Presstv