Mereka mendakwa spesies itu adalah daripada kumpulan ayam belanda jenis Mallefowl dan Brush yang wujud sekarang.

Analisis yang dijalankan juga menemukan mereka dengan fo­sil dan tulang lima spesies burung yang telah pupus.

Ayam belanda gergasi seti­nggi kanggaru itu hidup pada zaman Pleistosen iaitu antara 1.6 juta tahun dan 10,000 tahun lalu bersama-sama haiwan gergasi lain seperti diprotodon, singa dan kanggaru muka pendek.

Pada awalnya para saintis me­nyangka fosil yang pertama kali ditemukan pada tahun 1880-an itu merupakan seekor burung purba tetapi hasil ujian terbaharu merumuskan fosil itu adalah milik lima spesies burung.

Antaranya termasuklah ayam belanda seberat lapan kilogram iaitu empat kali lebih besar berbanding saiz ayam belanda sekarang selain mempunyai ketinggian kira-kira 1.3 meter, melebihi ketinggian seekor kanggaru.

“Penemuan kali ini adalah luar biasa kerana memberi maklumat kepada kita bahawa lebih separuh daripada ayam belanda Australia telah pupus semasa zaman Pleistosen tetapi kita tidak menyedari­nya sehinggalah sekarang,” kata penyelidik, Elen Shute.

Menurut beliau, hasil kajian terhadap fosil pada tahun 1880-an dan 1970-an dan spesimen yang ditemukan baru-baru ini turut memberi lebih penjelasan tentang perbezaan antara spesies itu.

Hasilnya mereka mendapati spesies burung terbabit terbahagi kepada dua kategori iaitu ‘ayam belanda tinggi’ yang mempunyai kaki panjang dan kurus dan ‘ayam belanda berisi’ yang mempunyai kaki pendek dan tubuh lebar.

Walaupun saiz ayam belanda itu besar namun ia mempunyai tulang sayap yang kuat dan panjang sekali gus menunjukkan unggas itu mampu terbang dan mungkin tidur di atas pokok berbanding spesies sekarang yang membina sarang untuk menge­ram telurnya. – AFP