Menteri Penduduk, Alan Tudge berkata, berbanding benua lain yang mempunyai bilangan penduduk yang kurang, negara ini mengalami peningkatan penduduk pada kadar 1.6 peratus setahun iaitu antara tertinggi dalam negara anggota Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

Menurut beliau, Sydney, Melbourne dan tenggara Queensland merupakan antara kawasan bandar yang me­nunjukkan peningkatan pantas penduduk ekoran kehadiran golongan pendatang.

Masalah infrastruktur di bandar-bandar timur Australia menelan kos ekonomi sebanyak Aus$15 bilion (RM44 bilion) pada tahun lalu dan jika dibiarkan negara ini akan mengalami anggaran kerugian tahunan berjumlah Aus$40 bilion (RM117.3 bilion) menje­lang 2030.

“Kesesakan ini merupakan cabaran serius kepada mereka yang berkeluarga dan cabaran ekonomi yang serius kepada negara,’’ katanya semasa berucap di Pusat Penyelidikan Menzies di Melbourne.

Tudge berkata, kementeriannya sedang merangka langkah untuk memastikan golongan pendatang yang baharu tiba ditempatkan di negeri-negeri kecil untuk beberapa tahun.

“Beberapa bahagian negara ini tidak mempunyai ramai pen­duduk dan amat sesuai untuk penempatan golongan pendatang ini,’’ katanya.

Walau bagaimanapun beliau tidak menggariskan cara memastikan golongan pendatang itu kekal di kawasan terlibat dengan alasan perkara itu masih belum ditetapkan kerajaan.

Beliau turut mengemukakan beberapa cadangan bagi mengurangkan jumlah penduduk di kawasan terbabit termasuk perbelanjaan infrastruktur yang lebih tinggi selain memindahkan kakita­ngan awam keluar dari bandar besar. –AFP