Setakat ini penduduk yang dijangka terkesan dengan bencana itu telah dipindahkan ke kawasan selamat manakala kesemua sekolah terutamanya di Queensland turut diarahkan ditutup sehingga pemberitahuan kelak.

Ketua Pengarah Jabatan Meteo­rologi Queensland, Bruce Gunn berkata, berkemungkinan besar ribut tahap empat yang berbahaya dijangka melanda Selasa ini.

“Angin kencang dengan kelajuan 260 kilometer sejam di­jangka berlaku. Lewat malam ini, mungkin tahap bencana tersebut boleh mencapai kategori tiga.

“Kami merasakan Debbie antara yang paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kali terakhir kita hadapi situasi ini pada 2011 de­ngan kehadiran ribut puting beliung Yasi,” katanya.

Pada 2011, ribut puting beliung paling teruk yang pernah me­landa Australia memusnahkan beberapa bandar di sepanjang pantai timur laut Australia selepas membadai di sepanjang kawasan perairan pantai dan merentasi beberapa bandar di negara ini.

Ribut Yasi merentasi kawasan pantai sekitar tengah malam dalam kekuatan maksimum ka­tegori lima, sebelum bertukar semakin lemah apabila memasuki kawasan darat.

Angin berkelajuan sehingga 290 kilometer sejam itu turut memutuskan bekalan elektrik dan memusnahkan kawasan perumahan di bandar-bandar yang terlibat. – AFP