BBC melaporkan, negara itu ketika ini menjual kira-kira AUS$2 bilion (RM6.2 bilion) dalam bentuk kelengkapan pertahanan pada setiap tahun menjadikannya pada kedudukan ke-20 negara pengeksport senjata terbesar.

Perdana Menteri, Malcolm Turn­bull berkata, pengeluar akan ditawarkan pinjaman yang di­so­kong kerajaan bagi merangsang industri berkenaan.

Kumpulan bantuan bagaima­napun menyifatkan langkah itu tidak akan membantu usaha du­nia mewujudkan keamanan glo­bal, pendirian yang ditolak oleh kerajaan.

Canberra berkata, Australia akan memberikan fokus utama meningkatkan eksport ke Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada dan New Zealand selain menumpukan pa­sa­ran di Asia serta Asia Barat.

“Ini adalah soal pekerjaan di Australia dengan matlamat kami untuk muncul sebagai 10 negara terkemuka,” kata Turnbull.

Perkembangan itu antara lain mewujudkan skim pinjaman berjumlah AUS$3.8 bilion (RM11.9 bilion) bagi membantu syarikat tempatan menjual kelengkapan pertahanan ke luar negara.

Kerajaan juga akan mewujudkan agensi berasingan bagi menyelaras dan mempromosi eks­port industri dengan lebih baik.

Dalam pada itu, Menteri Industri Pertahanan, Christopher Pyne berkata, pembeli berpotensi akan dikenakan pemeriksaan ketat bagi memastikan Australia menjual senjatanya di pasaran yang betul.

Namun pengkritik menyifatkan Australia tidak sepatutnya memberi tumpuan kepada pelaburan dalam eksport pertahanan.

“Kita tidak sepatutnya terlibat dalam permainan pasaran senjata yang membunuh, membawa kesedihan dan kemusnahan kepada masyarakat di seluruh dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Majlis bagi Pembangunan Antarabangsa Australia, Marc Purcell.