Timbalan Pesuruhjaya Polis Persekutuan Australia, Leanne Close berkata, dadah yang lebih dikenali sebagai ‘ice’ atau syabu itu dirampas selepas ia dibawa turun dari sebuah bot Valkoista yang dipercayai datang dari China.

Katanya, rampasan itu secara tidak langsung menamatkan penyiasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa selama enam bulan.

“Seramai lapan lelaki yang ke­semuanya warga Australia ditahan dan bakal didakwa di mahkamah atas dakwaan cuba menyeludup atau memiliki sejumlah dadah kawalan sempadan di kawasan timur pantai Australia serta ber­de­pan dengan hukuman penjara jika disabit kesalahan.

“Kejayaan rampasan itu juga secara tidak langsung dapat me­ngawal kegiatan pengedaran dadah sepanjang tempoh perayaan Krismas,” katanya.

Dalam pada itu, dadah tersebut dilaporkan dimasukkan ke dalam sebuah van sewa berwarna putih sebelum pasukan taktikal melakukan serbuan dan menahan tiga suspek di dalam van berkenaan.

Selepas itu, pasukan polis menahan tiga lagi suspek dalam bot yang membawa dadah berkenaan dan dua lagi di sebuah hotel di Perth.

Laporan Suruhanjaya Jenayah Australia pada 2015 menunjukkan bahawa satu gram methamphetamine berharga AS$80 (RM326) di China dan dianggarkan kira-kira 270,000 pengguna dadah itu di negara ini perlu membayar sebanyak AS$500 (RM2,043) bagi jumlah yang sama.

Pada awal tahun ini, polis Australia merampas kira-kira 903 kilogram methamphetamine di Melbourne.

Australia mengenal pasti China dan India sebagai pembekal sumber utama kepada bahan kimia yang digunakan untuk menghasilkan methampetamine, manakala China dan Myanmar adalah pengeluar utama dadah tersebut diperingkat akhir. – AFP