Siklon yang masih dikategorikan pada tahap satu dijangka akan mula membadai Broome di barat Australia hari ini.

Pihak berkuasa telah mengarahkan penduduk di kawasan terbabit agar menutup rumah masing-masing dan berlindung di tempat yang selamat.

Biro Meteorologi negara ini memaklumkan, ribut ganas itu dikesan menuju ke arah selatan dan diramalkan membawa bersama angin kencang dengan kelajuan 100 kilometer sejam.

Air pasang yang tinggi, hujan lebat dan banjir kilat dijangkakan disepanjang kawasan pantai , kira-kira 2,000 kilometer utara Perth.

Pakar kaji cuaca telah meramalkan siklon ber­kenaan akan mencapai tahap tiga tetapi kemudian memaklumkan tidak akan berlaku hari ini, lapor portal BBC.

Media tempatan pula melaporkan, cuaca buruk itu menyebabkan beberapa penerbangan dibatalkan manakala jalan raya utama ditutup.

Puting beliung Hilda yang merupakan ribut ganas tahap satu telah membadai kawasan sama pada 27 Disember lalu menyebabkan banyak pokok tumbang dan gangguan bekalan elektrik.

Siklon lazimnya berlaku pada musim panas di negara ini dan tahun lalu bencana alam itu melanda Queensland menyebabkan kematian dan kerosakan serta banjir besar.