Jurucakap tentera wilayah, Leftenan Kolonel Jonathan Ponce berkata, tentera daripada Briged 601 mendapat laporan bahawa 80 pejuang Islam diketuai komander Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), Umbra Kato sedang berkumpul di kampung Bialong apabila pertempuran tercetus sebelum subuh semalam yang berlanjutan selama lapan jam.

Menurut Ponce, ia merupakan pertempuran terburuk pada tahun ini.

Beliau menambah kata, lima askar turut cedera dalam serangan itu yang berlaku di luar bandar Mamasapano, dekat wilayah Maguindanao.

Tambah beliau, pihak tentera diarahkan memburu Kato serta dua komander pemberontak lain yang dipercayai mengetuai insiden amukan berdarah yang mengorbankan berpuluh-puluh orang awam di wilayah Lanao del Norte selepas urusan perjanjian damai awal dibatalkan Ogos lalu.

Jelas Ponce, pihaknya percaya ramai pejuang Islam cedera dan maut akibat terkena tembakan meriam askar kerajaan.

Sementara itu, di selatan pulau Jolo, tentera kerajaan akan berundur dari kawasan hutan setelah militan Islam mengancam akan memenggal kepala salah seorang daripada tiga anggota Palang Merah Antarabangsa (ICRC) yang ditawan oleh militan Islam.

Setiausaha Dalam Negeri, Ronaldo Puno berkata, pengunduran itu akan disempurnakan dalam masa 36 jam bagi membuka jalan kepada militan Abu Sayaf agar membebaskan salah seorang tawanan itu. - AP