Channel News Asia melaporkan, perkembangan itu turut disokong oleh masalah kemiskinan dan kelemahan undang-undang serta sistem kehakiman yang membelenggu negara-negara seperti Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos dan Filipina.

Tidak hairan negara-negara tersebut menjadi pilihan bagi pelaku-pelaku pedofilia tempatan dan antarabangsa menjalankan kegiatan terkutuk mereka.

Kemudahan akses kepada internet dan teknologi yang semakin sulit mengakibatkan ke­giatan itu gagal dibendung secara menyeluruh.

Jurucakap Terre des Hommes, Francois Xavier Souchet mendedahkan, golongan pedofilia menggunakan teknologi terkini termasuk media sosial, laman perkongsian video dan laman web gelap untuk mengarahkan dan menonton aksi rogol dan penderaan seksual terhadap kanak-kanak secara tertutup.

“Pelaku boleh menonton aksi rogol menggunakan platform terbuka di internet dari jarak jauh dan membayar perkhidmatan itu secara dalam talian. Apa yang mereka tonton adalah paparan secara langsung dan bukan dirakam,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), permintaan terhadap paparan penderaan seksual kanak-kanak yang dipancarkan menerusi kamera web mengakibatkan kegiatan perdagangan manusia meningkat.

Thailand dan Filipina dilaporkan menjadi hab bagi kegiatan itu.

Agensi Jenayah Nasional (NCA) menganggarkan 80,000 orang di Britain dikesan me­lakukan ancaman seksual ter­hadap kanak-kanak secara dalam talian.

Menurut ahli Organisasi Akhi­ri Pelacuran dan Perdagangan Kanak-Kanak, Damian Kean, fenomena menakutkan itu telah tersebar ke Kemboja dan Vietnam.

Namun Vietnam pada tahun lalu memperkenalkan hukuman lebih berat iaitu 12 tahun penjara bagi kesalahan mencabul kanak-kanak di bawah 16 tahun dan hukuman mati paling maksimum bagi jenayah rogol kanak-kanak.