Seorang pegawai kanan menyifatkan pertempuran antara polis dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) pada hujung minggu lalu yang membatalkan perjanjian gencatan senjata sebagai ‘kejadian yang tidak patut berlaku’ dalam ­usaha untuk menangkap dua anggota militan yang bersembunyi dalam kalangan anggota MILF.

Bagaimanapun, satu sidang Dewan Senat berhubung Rang Undang-undang Asas Bangsamoro untuk menetapkan zon khas telah ditangguhkan dan mungkin tidak lagi diteruskan.

Presiden Dewan Senat, Franklin Drilon berkata, kejadian itu mungkin digunakan sebagai alasan untuk tidak meluluskan atau menangguhkan rang undang-undang itu.

“Jika kita tidak meluluskan rang undang-undang ini, kita akan kembali ke situasi sebelum ini. Tiada penyelesaian kepada konflik tersebut,’’ katanya dalam satu temu bual de­ngan sebuah stesen radio tem­patan.

Dewan Senat berharap dapat meluluskan rang undang-undang mewujudkan zon dengan pelbagai kuasa ekonomi dan politik sebelum hujung bulan depan. Presiden, Benigno Aquino mahu proses kelu­lusan itu diselesaikan sebelum penggal pentadbirannya berakhir.

Ketua jawatankuasa perbicaraan berhubung rang undang-undang itu, Senator Ferdinand Marcos Jr. berkata, Dewan Senat perlu mengetahui fakta-fakta kejadian sebelum meneruskan usaha untuk ‘memastikan keamanan sebenar dan berpanjangan”.

Dalam pada itu, portal berita abs-cbnnews.com melaporkan, Pe­­ngerusi MILF, Murad Ebrahim meng­ulangi komitmen pergerakan itu dalam proses damai.

“MILF kini mengadakan Suruhanjaya Siasatan Khas terdiri daripada anggota Jawatankuasa Pusat MILF dan Pasukan Bersenjata Islam Bangsamoro untuk menyelesaikan isu berhubung kejadian (serangan) yang mengganggu gugat proses damai ini,” katanya dalam satu ke­nyataan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengumpul semua maklumat dan keterangan di tempat kejadian dan laporannya akan diserahkan secepat mungkin. - Reuters/Agensi