Jika tersilap langkah, sebarang kesilapan boleh mengundang maut kepadanya.

Namun dari riak wajah Kim Luan, 6, dari Buon M’Lieng di wilayah Dak Lak tengah Vietnam, dia langsung tidak gentar dengan fizikal gajah tersebut yang kini menjadi rakan baiknya, malah dilihat sukar berpisah antara satu sama lain.

Mail Online melaporkan, Kim dari etnik M’Nong berjaya menjinakkan haiwan itu dan memeliharanya sehingga mewujudkan satu ikatan yang kuat dengan gajah tersebut.

Bagaimanapun bagi etnik M’Nong, adalah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk menjinakkan gajah sebelum memperkenalkannya kepada penduduk kampung dan menjadikannya sebagai haiwan peliharaan.

Gajah-gajah itu kemudiannya digunakan untuk bekerja bersama penduduk kampung di sawah padi, mengangkut bahan-bahan keperluan serta membantu membina rumah penduduk kampung.

Keakraban Kim dengan gajahnya berjaya dirakam seorang jurugambar Perancis, Rehahn, 35, pada awal bulan ini.

Menurut Rehahn, gajah dianggap sebagai keluarga kepada etnik berkenaan sehingga menjadi kebiasaan untuk melihat gajah berada di laman rumah penduduk seperti mana orang kebiasaan memelihara kucing di rumah mereka.

“Saya rasa perasaan hormat wujud antara etnik dan haiwan itu. Malah, Kim lebih takutkan saya berbanding gajahnya,’’ kata jurugambar tersebut yang telah menetap selama tujuh tahun di Vietnam.