Kenyataan Pengerusi ASEAN, Alan Cayetano terhadap isu itu baru-baru ini memeranjatkan banyak pihak terutama Malaysia dan Indonesia yang secara jelas telah lama memperjuangkan isu kemanusiaan etnik Rohingya itu.

Malah terdapat laporan yang menyebut bahawa hubungan kalangan negara anggota ASEAN telah menunjukkan retak hanya kerana isu kemanusiaan yang diperjuangkan oleh beberapa ne­gara anggotanya.

Walaupun kenyataan balas Cayetano mendakwa, sebagai Pengerusi ASEAN beliau perlu menghormati dan mengambil kira sentimen negara anggota ASEAN lain yang tidak senada dengan Malaysia dan Indonesia namun pendirian itu kelihatan amat janggal dan pelik.

Ini kerana pendirian itu sangat ber­tentangan de­ngan kutukan keras dunia terhadap Myanmar terutama dari pertubuhan terbesar dunia, Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setiausaha Agungnya, Anto­nio Guterres dengan lantang me­ngkritik Myanmar dan ke­pemim­pinan Aung San Suu Kyi yang menyifatkan keganasan terhadap etnik Rohingya adalah malapetaka dan keganasan yang sistematik.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Zeid Ra’ad al-Hussein pula menyifatkan kri­sis Rohingya itu sebagai penghapusan etnik.

Negara sekutu kuat Filipina, Amerika Syarikat (AS) melalui wakil ke PBB, Nikki Haley pula mengecam hebat Myanmar ma­lah tidak gentar mendefi­ni­sikan tindakan anggota tentera Myan­mar sebagai kejam dan bertujuan menghapuskan kumpulan minoriti etnik Islam Ro­hingya.

Dalam isu etnik Rohingya ini, pendirian tidak mahu ‘menjaga tepi kain’ negara anggota ASEAN perlu diketepikan ke­rana ini bukan isu yang melibatkan aga­ma Islam sahaja tetapi yang lebih penting adalah ni­lai kemanusiaan.

Malaysia dan Indonesia juga buat sekian kalinya telah me­negaskan, krisis Rohingya bukan sahaja masalah dalaman Myanmar te­tapi memberi kesan jangka pan­jang terhadap ekonomi, politik dan keselamatan di rantau ini.

Antara risikonya ialah ancaman pemberontakan pelampau Islam terutama kumpulan pengganas Daesh sekali gus melemahkan keamanan dan kestabilan yang merupakan syarat wajib bagi pembangunan dan pertumbuhan rantau ini.

Bekas Setiausaha Agung ASEAN, Tan Sri Dr. Surin Pitsuwan telah mencadangkan agar penyelaras tiga pihak yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN, Myanmar dan PBB ditubuhkan bagi menamatkan keganasan terhadap etnik Rohingya.

Pengalaman mengendalikan tragedi Taufan Nargis di Myanmar pada Mei 2008 yang menyebabkan kemusnahan teruk perlu dijadikan landasan untuk menjayakan kesepakatan tiga pihak tersebut terutama melalui mekanisme Pasukan Penilaian Pantas Kecemasan (ERAT).

Malah Dr. Noel Morada dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Australia turut berpendapat ASEAN memainkan peranan penting dalam menyelesaikan isu etnik Rohingya ini dengan me­­­ngambil kira pengalaman tragedi taufan tersebut.

Suu Kyi yang masih terus mempertahankan tentera kerajaan walaupun telah dikritik hebat perlu bekerjasama dengan ASEAN untuk menyelesaikan kri­sis itu dan mengembalikan maruah Myanmar serta dirinya sebagai tokoh anugerah Nobel Keamanan pada 1991.

Beliau tidak seharusnya bersikap ‘cuci tangan’ dan ‘tutup mata’ terhadap isu tersebut dan memindahkan masalah negaranya kepada Bangladesh lebih-lebih lagi de­ngan sikap kete­r­bukaan Presi­den Bangladesh, Sheikh Hasina untuk menerima etnik Rohingya di negaranya.

Kebanjiran etnik Rohingya dengan masalah kesihatan, pe­nempatan, kekurangan bekalan makanan, ubat serta masalah kebersihan termasuk masalah sosial lambat-laun bukan sahaja membebankan Bangladesh malah akan mengakibatkan pe­mimpinnya ‘hilang sabar’.

Jika ini berterusan memang wajarlah anugerah Nobel itu ditarik balik dari Suu Kyi apatah lagi kini lebih 430,000 tandatangan petisyen telah diperoleh yang menyokong tindakan itu dilakukan dan bertepatan dengan pendapat banyak pihak bahawa pejuang keamanan sebenar adalah Sheikh Hasina.