Perkara itu ditegaskan oleh Menteri Pertahanan Filipina, Del­fin Lorenzana ketika Washington dan Beijing dilihat bersaing dalam ‘mencari sumber kekuatan’ di rantau ini.

Menurut beliau, susah tiba masa bagi negara luar membiarkan ASEAN menentukan hala tujunya sendiri.

“Sebagai Pengerusi ASEAN, kita (Manila) perlu mengingatkan sahabat kami dengan tegas dan jika perlu supaya tidak menggunakan ASEAN sebagai proksi untuk persaingan mereka.

“Kami akan mengesahkan kesatuan ASEAN di tengah-tengah kemunculan persaingan negara kuasa besar selain memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) bagi Laut China Selatan,” katanya dalam Forum Fullerton 2017 di sini semalam.

Beijing menuntut hak sejarah berdasarkan sembilan titik garisan di sebahagian besar perairan Laut China Selatan termasuk yang dituntut Malaysia.

Dalam pada itu, White House mengingatkan China bahawa negara itu akan mempertahankan Amerika Syarikat (AS) dan kepentingan antarabangsa di Laut China Selatan selain mahu perdagangan di perairan itu dilakukan secara dua hala.

Amaran Washing­t­on itu menandakan bayangan pendirian tegas Presi­den baharu AS, Donald Trump ke atas Beijing dan menurut jurucakap White House, Sean Spicer, AS akan mempertahankan kepentingan negara di Laut China Selatan.

“Jika kepulauan itu adalah per­airan antarabangsa dan bukan milik China, sudah tentu kita akan pertahankan kepentingan antarabangsa daripada diambil oleh sebuah negara sahaja,” katanya.

Semasa pentadbiran Presiden Barack Obama, pendirian AS agak berkecuali berhubung persoalan kedaulatan ke atas pulau, terumbu dan beting pada per­airan itu.

Selain mahu pertikaian diselesaikan mengikut undang-undang antarabangsa, AS menyokong kebebasan berlayar dengan menghantar kapal tentera laut meronda berhampiran pulau-pulau di perairan tersebut.

Minggu lalu, bek­as Ketua Eksekutif ExxonMobil yang bakal dilantik Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson menyifatkan pembinaan di pulau-pulau buatan Laut China Selatan sebagai haram.

“Kita akan memberi isyarat yang jelas kepada China bahawa mereka perlu menghentikan pembinaan dan akses Beijing ke atas pulau-pulau buatan itu tidak akan dibenarkan,” katanya. – AFP