Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-49, di sini kali ini merupakan yang pertama disertai oleh negara-negara di rantau ini termasuk China serta Amerika Syarikat (AS), selepas tribunal Mahkamah di The Hague membuat keputusan menolak tuntutan China ke atas beberapa bahagian di perairan tersebut.

ASEAN yang dianggotai 10 negara dengan empat daripadanya turut membuat tuntutan ke atas beberapa bahagian di kawasan maritim berkenaan bersama-sama China, kini berpecah berhubung isu berkenaan.

Mereka menuduh China bijak mengadakan pakatan dengan negara-negara kecil seperti Laos, yang merupakan tuan rumah Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN kali ini, dan Kemboja, dengan menyalurkan bantuan dan pinjaman sehingga menyebabkan permuafakatan dalam kalangan negara di rantau ini berpecah.

Tekanan daripada China dijadikan sebagai punca berlaku perpecahan dalam ASEAN, apabila negara-negara anggota menolak kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Malaysia selepas mesyuarat ASEAN-China.

Kenyataan itu menyuarakan kebimbangan terhadap aktiviti China di Laut China Selatan.

Kemboja dan Laos dituduh menjadi dalang menghalang kenyataan bersama itu.

Beberapa pihak menuduh Kemboja merosakkan langkah untuk memasukkan maklum balas terhadap keputusan tribunal itu dalam satu kenyataan bersama yang dijangka dibuat pada hari terakhir mesyuarat itu, hari ini.

“Kami perlu menyusun semula pertubuhan serantau ini, namun sehingga kini kami masih tidak mendapat kata sepakat dalam sebarang perkara,” kata seorang diplomat yang terlibat dalam mesyuarat tersebut.

Seorang diplomat ASEAN berkata, mereka menghadapi jalan buntu dan terpaksa kembali ke meja rundingan.

Dalam satu draf kerja tentang kenyataan bersama yang diperoleh oleh AFP, semalam menunjukkan bahagian yang bertajuk ‘Laut China Selatan’ dibiarkan kosong.

Kebuntuan yang dihadapi pada mesyuarat di Vientiane kali ini, menimbulkan kebimbangan berulang kembali sejarah semasa persidangan di Kemboja pada 2012 apabila negara-negara rantau ini buat pertama kalinya gagal mengeluarkan kenyataan bersama berikutan perbalahan berkaitan Laut China Selatan. – AFP