Perkara itu jelas menerusi draf kenyataan yang dikeluarkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN di sini yang terpaksa dilakukan secara berhati-hati akibat pertikaian oleh beberapa buah negara ke atas kawasan maritim yang strategik itu.

Channel News Asia melaporkan, walau bagaimanapun pe­mimpin negara-negara ASEAN termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama menegaskan kepentingan untuk mengekalkan kestabilan serta kebebasan di Laut China Selatan.

Draf tersebut menyebut beberapa pemimpin negara kekal serius terhadap perkembangan isu maritim di kawasan tersebut.

Obama dilaporkan mene­gaskan bahawa keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara (PCA) di The Hague dapat membantu menjelaskan hak maritim di perairan itu.

“Saya sedar isu ini menimbulkan ketega­ngan tetapi saya juga bersedia untuk membincangkan tentang cara bagaimana kita dapat bergerak ke depan bersama-sama secara konstruktif untuk mengurangkan ketegangan,” katanya.

Namun, Beijing terus me­luahkan kekecewaan terhadap negara-negara di luar rantau Asia Tenggara yang cuba campur ta­ngan dalam pertikaian tersebut walaupun pemimpin-pemimpin Asia berusaha meredakan kete­gangan berkaitan isu itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar China, negara itu bersedia untuk bekerjasama dengan ASEAN bagi menghapuskan campur tangan luar dan mengendalikan isu ma­ritim itu dengan lebih baik.

Kenyataan tersebut dilihat seolah-olah tidak membenarkan negara-negara luar dari rantau Asia Tenggara yang tidak terlibat secara langsung dalam pertikai­an itu seperti AS untuk turut campur tangan dalam isu tersebut.

Dalam pada itu, Indonesia meminta kerjasama yang lebih kukuh dalam sektor sumber manusia dan maritim antara negara-negara ASEAN dan Jepun sebagai rakan kongsi serantau.

Presiden Indonesia, Joko Widodo turut menekankan pening­katan kerjasama dalam membangunkan sumber manusia bagi menyokong pemba­ngunan dalam ASEAN dan Jepun yang perlu dilakukan menerusi pembangunan teknologi dan vokasional.

“Rantau ASEAN dan Jepun yang bersambung melalui perairan strategik yang mempunyai nilai ekonomi yang sangat berharga. Sehubungan itu, sambu­ngan maritim di rantau ini akan membawa kepada kawasan yang lebih bersepadu, menjadikannya kondusif bagi pertumbuhan ekonomi.

“ASEAN dan Jepun juga harus bekerjasama untuk meningkatkan kualiti pendidikan, termasuk latihan vokasional, teknikal, pe­ngurusan perniagaan dan pembangunan teknologi serta program pertukaran belia dan,” jelas beliau. – REUTERS/AGENSI