Bercakap semasa persida­ngan keselamatan berprofil tinggi di sini, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Jim Mattis berkata, tentera Amerika antara lain terus menyokong diplomat yang berusaha ke arah menghentikan pembangunan senjata nuklear di Semenanjung Korea.

Mattis berkata, Beijing telah menghantar pelbagai kelengkapan ketenteraan terma­suk peluru berpandu anti kapal, peluru berpandu permukaan dan penyekat elektronik di pulau-pulau buatannya di Laut China Selatan sebagai kemudahan tentera negara itu.

Beijing juga telah mendaratkan pesawat pengebom di Pulau Woody dekat Kepulauan Paracel.

“Walaupun China mendakwa sebaliknya, penempatan sistem senjata tersebut secara langsung me­rujuk kepada penggunaan ketenteraan untuk tujuan meng­ugut dan menakut-nakutkan,” kata Mattis pada sidang Dialog Shangri-La.

Mattis pada masa sama meminta Presiden China, Xi Jinping melihat semula janji yang dibuat beliau pada 2015 di White House bahawa Beijing tidak meletakkan kelengkapan ketenteraan di pulau buatan mereka di Laut China Selatan.

Ucapan Mattis di Singapura adalah persidangan kedua yang pernah dihadirinya sejak menjadi Ketua Pentagon.

Mattis merujuk kepada pandangan bahawa beliau dan pegawai kanan AS lain telah dikritik sejak Presiden Donald Trump berkuasa dan Amerika ada di wilayah Asia Pasifik selain sekutunya perlu kekal bersama Washing­ton berbanding berpakat dengan Beijing.

Namun mesej inklusif, kerjasama dan bekerja dengan sekutu mungkin agak sukar dicapai Mattis selepas Trump minggu ini mengenakan tarif keluli ke atas beberapa sekutu terdekat Amerika atas nama 'ke­selamatan negara'.

“Kebanyakan negara di rantau ini yang merupakan sebahagian daripada rantaian perbekalan global bimbang mereka akan terkesan dengan perang perdagangan antara China dan AS,” kata Ahli Bersekutu Kanan Program Asia Tenggara di Pusat Bagi Kajian Antarabangsa dan Strategik di Washington.

Walaupun terdapat amaran yang kerap dari Washington tentang kekuatan China yang semakin meningkat dan kesulitan daripada inisiatif prasarana global One Belt, One Road atau OBOR oleh China, Beijing menerima beberapa akibat ekoran tindakannya membina struktur di wilayah maritim di Laut China Selatan.

Satu daripada kesan agak sederhana berlaku minggu lalu apabila Pentagon mengetepikan jemputan China pada latihan maritim dwitahunan di Pasifik dengan Mattis menyifatkan tindakan tersebut sebagai tindak balas awal.

Sementara itu, harapan perwakilan untuk mengetahui niat Trump menghadiri sidang kemuncak pada 12 Jun ini bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un tidak mendapat perhatian Mattis.

Beliau dilihat menolak menyentuh isu tersebut dengan menangguhkan persoalan itu kepada Jabatan Negara AS dan pasukan keselamatan negara Trump. – AFP