Dengan nada angkuh, Trump mengumumkan pentadbirannya mahu segera menarik diri daripada melaksanakan perjanjian bersama 195 buah negara dunia (kecuali Syria dan Niracagua) dengan menyifatkannya sebagai ‘satu idea yang teruk’.

“Saya dengan ikhlas tidak boleh menyokong perjanjian yang ‘menyeksakan’ apabila melihat beban kewangan dan ekonomi yang teruk daripada perjanjian itu yang bakal ditanggung negara ini.

“Saya telah dipilih untuk mewakili penduduk Pittsburgh (sebuah negeri di AS), bukan Paris. Kami tidak mahu pemimpin negara lain mentertawakan kami lagi,” katanya.

Trump turut mendakwa perjanjian yang dimulakan bekas Presiden, Barack Obama itu gagal mendahulukan kepentingan AS dan terlalu berlembut dengan saingan ekonominya termasuk China, India dan Eropah.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai tarikh serta cara penarikan diri secara rasmi akan dibuat namun menegaskan rundingan semula terhadap perjanjian itu boleh berlaku.

“Kami akan keluar tetapi akan mula berunding dan melihat jika kami boleh membuat satu perjanjian yang adil. Jika boleh, itu hebat tetapi jika tidak pun tidak mengapa,” katanya.

Tindakan Trump itu menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif Tesla Inc., Elon Musk dan Ketua Eksekutif Bersama Walt Disney Co., Robert Iger meletak jawatan dalam beberapa majlis penasihat White House ekoran keputusan itu. Malah, syarikat gergasi korporat seperti General Electric, Facebook, Goldman Sachs dan Walt Disney juga me­ngutuk tindakan Presiden AS itu.

Eropah yang diketuai Pre­siden Perancis, Emmanuel Macron membidas keputusan Trump sambil berikrar mempertahankan perjanjian berkenaan yang dianggap penting demi masa depan.

Malah, tiga kuasa besar ekonomi Eropah iaitu Jerman, Perancis dan Itali turut mengeluarkan kenya taan bersama mengkritik keputusan tersebut dan menolak pelawaan Trump untuk me­ngadakan rundingan semula perjanjian berkenaan.

“Kami kesal dengan keputusan yang diambil oleh AS. Kami de­ngan tegas dan yakin perjanjian ini tidak boleh dirunding semula,” jelas ketiga-tiga negara itu yang menganggap perjanjian mengawal pelepasan karbon (karbon dioksida) pen­ting kepada dunia, masyarakat dan ekonomi.– AFP