Bagaimanapun, kenyataan yang dibuat AS menyerlahkan ketidakupayaannya menangani isu senjata nuklear Korea Utara kerana lebih bersedia menggunakan pengaruhnya dalam perdagangan antarabangsa untuk menyelesaikan kemelut yang ada.

Dalam ucapan kerasnya pada mesyuarat tergempar Majlis Ke­selamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selepas pelancaran peluru berpandu antara be­nua (ICBM) di Pyongyang, Duta Besar AS, Nikki Haley hari ini berkata, dunia telah menjadi tempat lebih berbahaya dan China didakwa mempunyai pe­ranan utama untuk menggalakkan keamanan.

Katanya, China bertanggungjawab terhadap 90 peratus perdagangan dengan Korea Utara sambil menambah Beijing menanggung risiko perdagangannya dengan AS jika urusan antara kedua-dua negara komunis itu melanggar sekatan PBB.

Haley mendakwa, Presiden AS, Donald Trump lebih gemar menggunakan pendekatan dalam bidang perdagangan untuk menangani ancaman dan mereka yang menyokong Korea Utara.

Baru-baru ini, para pegawai AS menggambarkan China sebagai rakan kongsi dalam strategi mereka menghalang Korea Utara membangunkan kemampuan untuk menyerang AS dengan senjata nuklear.

“Terdapat negara yang membenarkan, malah menggalakkan perdagangan dengan Korea Uta­ra dan melanggar re­solusi Majlis Keselamatan. Negara-negara ini ju­ga mahu terus berdagang de­ngan AS.

“Perkara ini tidak akan berlaku. Pendekatan kami akan berubah sekiranya negara-negara tersebut ti­dak mengambil serius an­caman keselamatan an­tarabangsa,” dakwa Haley sambil menyatakan AS akan mengemukakan draf resolusi untuk mengenakan sekatan baharu terhadap Korea Utara.

Ironinya. pada masa yang sama Trump mengkritik tindakan China kerana terus menjalankan urusan perdagangan dengan Korea Utara ketika negara secara berterusan melancarkan ujian ICBM.

Sementara itu, Rusia yang menentang sekatan baharu berkata, tindakan ketenteraan sebagai pilihan yang tidak dapat diterima. – AFP/Agensi