Al-Jazeera melaporkan, resolusi yang mendapat sokongan penuh Israel itu perlu memperoleh undian majoriti sebanyak dua per tiga untuk diluluskan.

Namun, resolusi itu gagal memperoleh undian majoriti apabila hanya 87 negara anggota mengundi untuk menyokong usul berkenaan dan 57 yang lain menentang, manakala 33 lagi memilih untuk berkecuali.

Resolusi itu dicadangkan oleh Duta AS ke PBB, Nikki Haley sebelum beliau meninggalkan jawatan tersebut pada hujung tahun ini.

Sebelum pengundian berlangsung, Haley menegaskan bahawa kesemua negara anggota perlu mengutuk keras tindakan Hamas melancarkan serangan ke wilayah Israel dengan memberi amaran, AS memandang serius keputusan undian itu.

“Sebelum PBB mencari penyelesaian konkrit berhubung konflik antara Palestin dan Israel, kita semua perlu mengutuk keganasan yang dilakukan oleh Hamas,” kata­nya.

Dalam pada itu, Hamas menerusi satu kenyataan me­rakamkan penghargaan kepada negara-negara anggota PBB yang setia menyokong Palestin dan menyelar Haley yang secara jelas menyokong keganasan rejim Zionis di Palestin.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas juga menyambut baik keputusan pengundian resolusi tersebut dengan menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan mana-mana rakyat Palestin dikutuk dan dipandang rendah.

Pengasas portal berita Electronic Intifada, Ali Abunimah pula menyifatkan kegagalan resolusi tersebut sebagai satu keputusan yang signifikan.

“Resolusi itu secara jelas ingin menggunakan PBB untuk menentang penduduk Pa­lestin dan menafikan semua hak mereka.

“Resolusi itu juga berat sebelah kerana semuanya mengenai tindakan Palestin, bagaimana pula dengan keganasan rejim Zionis yang menembak penduduk kami? mengadakan sekatan di Semenanjung Gaza? saya rasa dunia juga menyaksikan apa yang berlaku,” ujarnya.

Semenanjung Gaza yang menempatkan kira-kira dua juta penduduk Palestin berada dalam kawalan dan sekatan tentera Israel sejak lebih sedekad lalu.

Keadaan itu secara tidak langsung menjejaskan Gaza dalam pebagai sektor termasuk kadar pembangunan ekonomi rendah, kadar pengangguran yang tinggi, bekalan elektrik dan perkhidmatan kesihatan yang terhad.