Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley menyifatkan gencatan senjata yang dipersetujui sejak dua minggu lepas adalah satu kegagalan dan membuat gesaan supaya diadakan satu draf resolusi baharu gencatan senjata selama 30 hari di Ghouta Timur dan Damsyik.

Beliau mendakwa gencatan senjata sebelum ini sebenarnya menjadi usaha rejim Presiden Syria iaitu Bashar al-Assad, Iran dan Rusia untuk terus memerangi penentang politik mereka.

Haley berkata, pihaknya bersedia untuk mengambil langkah sewajar terhadap mana-mana negara yang ingin mencapai matlamat mereka menggunakan serangan senjata kimia sehingga menyebabkan penderitaan sejagat.

Jelas Haley, tindakan berkenaan bukanlah pilihan AS tetapi ia perlu dilakukan untuk mengelak situasi menjadi semakin teruk.

Beliau turut mengingatkan tindakan yang diambil oleh Pre siden AS, Donald Trump sebelum ini yang mengarahkan serangan peluru berpandu ke atas pangkalan tentera udara Syria pada April lalu sebagai tindak balas terhadap serangan gas sarin yang didakwa dilakukan oleh tentera rejim Bashar.

Sementara itu, draf resolusi yang dikemukakan oleh AS bakal menyaksikan gencatan senjata dilakukan selama 30 hari di seluruh Ghouta Timur serta Damsyik berkuat kuasa serta merta selepas dipersetujui semua pihak.

Draf resolusi itu turut memperuntukkan akses yang selamat dan berterusan kepada konvoi bantuan kemanusiaan di wilayah bergolak tersebut.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Pejabat Pengurusan Kemanusiaan PBB di Syria memaklumkan proses membawa keluar penduduk awam di Ghouta Timur dijangka dilakukan hari ini.

Wakilnya, Ali al-Za’tari berkata, antara penduduk awam yang akan dibawa keluar termasuklah mereka yang memerlukan rawatan perubatan.

PBB sebelum ini mendesak supaya hampir 1,000 penduduk yang sakit dan cedera dibawa keluar untuk rawatan kecemasan.

Sementara itu, penduduk awam yang berjaya dibawa keluar dari Ghouta Timur melahirkan kebimbangan mengenai ada antara ahli keluarga mereka yang tertinggal dan tidak dapat menyelamatkan diri.

Seorang daripadanya, Rima Sheikh memberitahu bahawa dia terpaksa meninggalkan anak pe­rempuannya di Ghouta Timur ketika dibawa keluar oleh pihak tentera bersama suami serta empat anaknya.

“Kami cuba mencari anak perempuan kami di tempat tinggal sebelum ini, namun dia dan suaminya sudah meninggalkan tempat itu. Sudah sebulan saya tidak berjumpa dengannya,” ujarnya.– AGENSI