Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev menerusi satu kenya­taan yang dimuat naik ke dalam akaun Facebook miliknya semalam, lapor BBC.

Menurut Medvedev, arahan sekatan yang ditandatanga­ni oleh Presiden AS, Donald Trump itu secara tidak langsung mendedahkan kelemahan pe­mim­pin berkenaan yang turut dimalukan Kongres negaranya sebelum ini.

Trump bagaimanapun me­nu­duh Kongres melampaui batas perundangan yang dite­tap­kan AS berhubung isu sekatan itu.

Selain Rusia, sekatan turut dikenakan ke atas dua lagi musuh politik AS iaitu Iran dan Korea Utara.

Iran seperti dilaporkan agensi berita tempatan, Isna mendakwa, sekatan baharu itu melanggar perjanjian nuklear yang ditandatangani sebelum ini.

Korea Utara pula bagaimanapun belum membuat sebarang ulasan umum berhubung tindakan AS itu.

Mengulas lanjut mengenai sekatan tersebut, Medvedev berkata, tindakan Trump secara tidak langsung menamatkan hasrat mereka untuk memperbaiki hubungan dengan pentadbiran baharu AS ketika ini.

“Rejim sekatan itu telah dikanunkan dan mungkin dikuatkuasakan selama beberapa dekad kecuali jika ada keajaiban yang berlaku dalam tempoh itu,” katanya.

Trump sebelum ini berulang kali menafikan tuduhan me­ngatakan pasukan kempennya berkomplot dengan Rusia untuk memenangi pilihan raya Presi­den AS yang lalu.