Namun, AS bersedia bekerjasama rapat dengan Beijing ba­gi mewujudkan ‘rangkaian ke­selamatan utama’ di seluruh Asia Pasifik.

Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dalam ucapannya pada sidang Kemuncak Kesela­matan Asia ke-15 Dialog Shangri-La, di sini turut mengkritik China yang menakut-nakutkan negara-negara jirannya dengan tindakannya meluaskan pembinaan pulau-pulau buatan dan kemudahan tentera di wilayah pertikaian di Laut China Selatan.

“Kebimbangan semakin me­ningkat di rantau ini berhubung aktiviti China di kawasan per­airan, di ruang siber dan angkasa di rantau ini,” katanya.

Malah, katanya, China telah melakukan perluasan dan bertindak dalam kapasiti yang tidak pernah berlaku di Laut China Selatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap niat sebenar negara itu.

Menurut laporan laman web presstv.ir, Carter juga cuba meredakan kebimbangan di Asia tentang pengekalan kuasa AS dan menyifatkannya sebagai pendekatan ‘satu komitmen, kekuatan dan rangkuman’ di rantau ini.

AS bimbang tindakan China meluaskan kuasa ketenteraannya di Laut China Selatan melalui pembinaan pulau-pulau buatan bagi menempatkan sistem persenjataan dan membina lapangan terbang tentera.

“Malangnya, jika tindakan ini diteruskan, China mungkin membina tembok besar pengasingan diri,” kata Carter.

Carter bagaimanapun me­ne­gaskan tentang kemungkinan AS meningkatkan kerjasama ke­selamatan dengan China.

“Walaupun AS kekal sebagai kuasa tentera terkuat di dunia untuk dekad akan datang, dan tiada ragu-ragu lagi tentang hal itu, namun negara-negara di rantau ini juga komited untuk me­lakukan lebih lagi bagi menjamin keselamatan dan kemakmuran di rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, AS mahu meluaskan perjanjian ketenteraan dengan China, bukan sahaja untuk mengurangkan bahaya tetapi menjalin kerjasama praktikal bagi membolehkan tentera kedua-dua negara bekerjasama.