Washington sebaliknya memilih untuk melakukan penerbangan ‘provokasi’ pesawat pengebom di Semenanjung Korea dan ujian sistem pertahanan peluru berpandu (THAAD) negara tersebut, semalam.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, sudah tiada guna bagi PBB mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan badan dunia itu yang tidak mendatangkan hasil kerana kelemahan resolusi tersebut hanya menjadikan keadaan bertambah buruk selain kekerapan Pyongyang mencabuli resolusi badan berkenaan.

Haley berkata, beliau menggesa China, Jepun dan Korea Selatan untuk meningkatkan tekanan ke atas Pyongyang.

Jelasnya, resolusi tambahan Majlis Keselamatan PBB tidak dapat meningkatkan tekanan antarabangsa ke atas Korea Utara dan tidak mempunyai nilai.

“Sebaliknya perkara itu hanya menghantar mesej kepada pemimpin Korea Utara bahawa masyarakat antarabangsa enggan secara serius untuk mencabarnya. China pada masa sama perlu memutuskan sama ada mereka sudah bersedia untuk melaksanakan langkah penting ini kerana masa untuk bercakap sudah ber­akhir,” katanya.

Susulan ujian ICBM pada Jumaat lalu, pe­mimpin Korea Utara mendabik dada dengan mendakwa peluru berpandu negara itu dapat mencapai mana-mana lokasi di Amerika, dakwaan dikuatkan lagi dengan kenyataan pakar persenjataan bahawa ICBM ter­babit boleh menjadikan New York sebagai sasarannya selepas ini, cabaran terbesar buat Pre­siden Donald Trump.

Sebagai tindak balas, AS menerbangkan dua pesawat pengebom negara itu di kawasan Semenanjung Korea selain berjaya menguji sistem THAAD yang diharapkan dapat dipasang di Korea Selatan.

Menurut penganalisis, kenyataan Haley itu menunjukkan Washington sudah hilang sabar dengan pendekatan diplomatik dan akan mempertimbangkan campur tangan ketenteraan dalam isu Korea Utara.

Pengarah kajian ketenteraan di Universiti Dongyang, Korea Selatan, Jeung Young-tae berkata, ujian ICBM terbaharu itu mencetuskan ancaman ketara kepada keselamatan AS.

“Kini, Amerika berpendapat, sudah tiada guna untuk berunding yang hanya membantu Pyongyang mendapat lebih banyak masa membangunkan program persenjataannya,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe hari ini menghubungi Trump dan kedua-dua pemimpin terbabit bersetuju akan keperluan lebih banyak tindakan ke atas Korea Utara diambil.

Menurut Abe, usaha berulang kali masyarakat antarabangsa untuk mencari penyelesaian damai masih belum membuahkan hasil terutamanya dalam menghadapi peningkatan tindakan sebelah pihak oleh Pyongyang.

“Masyarakat antarabangsa termasuk Rusia dan China perlu mengambil serius isu ini dan me­ningkatkan tekanan mereka,” jelasnya. – AFP/REUTERS