AS sebelum ini merupakan penyumbang terbesar UNRWA, tidak akan lagi memberikan sumbangan tambahan selepas bantuan AS$60 juta (RM246 juta) yang dibuat pada Januari lalu, kata Jurucakap Jabatan Negara Heather Nauert dalam satu kenyataannya.

Nauert berkata: “Washington tidak akan lagi memberikan sumbangan kepada operasi yang me­rugikan ini.”

Kenyataan itu dibuat beberapa jam selepas rakyat Palestin memberi amaran bahawa langkah sedemikian akan terus menjejaskan peluang rundingan damai dengan Israel.

Banyak amaran yang disuarakan sebelum ini terhadap kesan pemberhentian dana yang dibuat AS yang menyumbang sebanyak AS$350 juta (RM1.4 bilion) kepada bajet UNRWA pada tahun lepas.

Agensi bantuan itu membantu kira-kira lima juta pelarian Palestin yang berdaftar selain menyediakan sekolah untuk pendidikan 526,000 kanak-kanak di wilayah Palestin termasuk di kem di Lubnan, Syria dan Jordan.

UNRWA sebelum ini memberikan amaran bahawa masalah kekurangan dana akan menyebabkan pihaknya terpaksa menutup terus semua 711 sekolah kendalian selepas ditutup sementara baru-baru ini.

Pada Khamis lalu, Jerman berkata, pihaknya akan menyediakan pembiayaan tambahan selepas Pengarah UNRWA, Pierre Krahenbuhl mengeluarkan kenya­taan awal minggu ini bahawa agensi itu memerlukan lebih AS$200 juta untuk meneruskan operasi sehingga akhir tahun ini.

Pada minggu lalu, AS turut mengumumkan pembatalan pemberian dana lebih AS$200 juta dalam bentuk bantuan dua hala kepada rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Nauert berkata, AS akan ‘mengiatkan’ dialog dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mereka yang berkaitan mengenai model serta pendekatan baharu untuk mengurangkan kesan kepada kanak-kanak Palestin.

Beliau mendakwa AS sangat pri­hatin tentang kesannya terhadap rakyat Palestin yang tidak bersalah, terutamanya kanak-kanak sekolah atas kegagalan UNRWA, ahli utama komuniti pen­derma serantau dan antarabangsa untuk melakukan pembaharuan dan menetapkan semula cara UNRWA menjalankan operasi.

Sementara itu, jurucakap Pre­siden Palestin, Nabil Abu Rudeina mengutuk tindakan AS yang bertentangan dengan resolusi PBB dan menyifatkannya sebagai satu bentuk serangan terhadap rakyat Palestin selain mempertahankan sumbangan yang dilakukan UNRWA.

“Kami juga menolak kritikan terhadap UNRWA kerana program yang dikendalikannya terbukti mewujudkan salah satu proses pembangunan manusia pa­ling berjaya di Asia Barat, malah masyarakat antarabangsa, penderma dan negara tuan rumah secara konsisten memuji UNRWA atas pencapaian dan piawaiannya,” jelasnya.