Setiausaha Pertahanan AS, Jim Mattis memaklumkan kepada Menteri Pertahanan Vietnam, Ngo Xuan Lich di Washington semalam bahawa hubungan pertahanan yang kukuh itu adalah berdasarkan kepentingan bersama termasuk kebebasan belayar di perairan berkenaan.

“Mattis mengalu-alukan penglibatan Vietnam dan peningkatan kepemimpinan negara itu di rantau Asia Pasifik,” menurut kenyataan dari Pentagon.

Kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju tentang kunjungan kapal pengangkut pesawat itu yang akan tiba pada tahun depan dan merupakan lawatan pertama sejak Perang Vietnam berakhir pada tahun 1975.

Perkara berkenaan sebelum ini telah dibincangkan antara Pre­siden Donald Trump dan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc semasa pertemuan mereka di White House pada bulan Mei lalu.

Sementara itu di Hanoi, penganalisis politik yang juga penasihat kerajaan Vietnam, Ha Hoang Hop berkata, perjanjian itu adalah konsisten dengan strategi diplomatik negara berkenaan yang terbuka kepada semua negara.

“Vietnam tidak akan bertolak-ansur tentang isu kedaulatan negara selain telah bersiap sedia mendepaninya,” katanya.

Beijing dilaporkan ‘naik angin’ ekoran peningkatan hubungan pertahanan antara Vietnam dan AS dan negara-negara seterunya termasuk Jepun dan India.

Malah Vietnam dikatakan satu-satunya negara yang berterusan mencabar tuntutan China terhadap hampir kesemua laluan di perairan berkenaan selain dipaksa menangguhkan sejumlah operasi cari gali minyak luar pesisir pantai sejak bulan lalu selepas ditekan oleh Beijing. – Reuters.