“Sesetengah orang memberikan kita nasihat. Mereka berasa bimbang. Jaga urusan sendiri! Lihatlah perbuatan anda sendiri.

“Tidak ada seorang pun datang mengucapkan takziah, sama ada daripada EU... atau dari Barat. Dan mereka boleh berkata ‘Erdogan telah menjadi begitu marah.

“Negara-negara itu atau pe­mimpinnya bukan risau tentang demokrasi di negara ini, kehidupan rakyat kita, masa depan Turki, sebaliknya mereka begitu bimbang akan nasib pengkhianat-pengkhianat terbabit. Mereka ini tidak boleh menjadi kawan kita,” tegas Erdogan dalam ucapannya di Istana Presiden.

Erdogan sebelum ini berikrar akan mengambil segala tindakan yang me­langkaui batas undang-undang untuk menghukum mereka yang bersubahat dalam cubaan rampasan kuasa itu.

Agensi berita tempatan, Anadolu melaporkan, empat orang wartawan telah dibebaskan semalam, namun 17 wartawan lagi ditahan dan didakwa dengan tuduhan ‘menjadi ahli kumpulan pengganas’.

Antara yang ditahan ialah wartawan veteran, Nazli Ilicak, selain bekas koresponden akhbar pro-Gulen Fethullah Gulen, Zaman Daily iaitu Hanim Busra Erdal.

Turki, setakat ini telah menahan lebih 18,000 orang yang dipercayai bersubahat dengan pendakwah berpangkalan di AS, Fethullah Gulen malah Brussels turut mengeluarkan amaran jika keada­an itu berterusan, keahlian Turki dalam EU mungkin berada dalam bahaya

Dalam perkem­­ba­ngan lain, sebuah ta­nah perkuburan dikenali sebagai ta­nah Perkuburan Pengkhianat telah diba­ngunkan bagi anggota tentera yang mati dan mereka yang turut serta dalam cubaan rampasan kuasa.

Namun, banyak kritikan dilemparkan berhubung tindakan itu termasuk daripada para aktivis serta rakyat Turki yang mendakwa kerajaan tidak sepatutnya mewujudkan tanah perkuburan seperti itu.

Malahan, jurucakap pihak berkuasa agama Turki berkata, ulama terkenal, Mehmet Gormez turut tidak menyokong pembinaan tanah perkuburan tersebut kerana itu hanya akan membawa lebih penderitaan kepada ahli keluarga si mati.

Khamis lalu, Datuk Bandar Istanbul memberitahu stesen penyiaran tempatan, TGRT Haber, beliau telah mengarahkan supaya papan tanda tanah perkuburan itu diturunkan. – AFP/REUTERS