Agensi berita Al Jazeera melaporkan, keputusan untuk mengurangkan separuh daripada angka itu sebenarnya telah mengundang kekecewaan agensi kemanusian di bawah Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) dan aktivis yang sedang berjuang untuk memberi penempatan semula kepada jutaan rakyat kerana peperangan di negara mereka.

Pada tahun 2016, AS menerima 84,995 pelarian dari seluruh dunia sementara tahun ini hanya memberi penempatan kepada 54,000 orang.

Seorang pegawai kanan AS yang enggan dikenali memberitahu Al Jazeera, keselamatan menjadi objektif bagi keputusan drastik ini.

“Keselamatan rakyat AS adalah keutamaan Presiden. Kita perlu memastikan peluang penempatan semula kepada pelarian ini hanya diberikan kepada yang selayaknya.

“Kami tidak mahu risiko dengan menempatkan mana-mana individu atau kumpulan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan negara,” katanya.

Seperti yang diketahui umum, Presiden AS, Donald Trump sememangnya tidak begitu gemar untuk membawa masuk pelarian malah secara terbuka telah menyatakan tentangan terhadap pelarian masuk ke negara ini.

Trump juga dipercayai telah mengarahkan pemeriksaan latar belakang yang lebih sukar sebelum membawa pelarian masuk ke AS.

Sementara itu, Kesatuan Eropah (EU) bercadang untuk membawa masuk sekurang-kurangnya 50,000 pelarian dari Afrika, Timur Tengah dan Turki bagi mengelakan kumpulan ini dari terus menggunakan jalan laut yang rata-ratanya mati lemas di Laut Mediterranean. - Agensi