BBC melaporkan, amaran tersebut dibuat selepas AS, Uni­ted Kingdom (UK) dan Perancis menyerang tiga pusat penyedia­an dan penyimpanan senjata kimia di Syria sebagai tindak balas terhadap serangan kimia yang meragut kira-kira 70 nyawa di pekan Douma pada minggu lalu.

Duta AS ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Nikki Haley menyifatkan serangan tersebut sebagai satu perkara yang adil, sah di sini undang-undang dan sewajarnya.

“Saya bercakap dengan Presi­den pagi ini dan dan beliau menegaskan bahawa AS akan me­lancarkan serangan sekali lagi jika kerajaan Syria melakukan serangan kimia yang baharu,” katanya.

Haley juga menyatakan bahawa AS dan sekutunya sudah memberikan banyak ‘peluang’ diplomasi namun Rusia sering menggunakan kuasa vetonya dalam resolusi berkaitan konflik di Syria.

Jelasnya, AS tidak boleh berdiam diri lagi dan membiarkan Rusia menjejaskan norma antarabangsa dan membiarkan penggunaan senjata kimia tanpa penyelesaian.

Syria sehingga kini menafikan melancarkan serangan kimia dan menegaskan bahawa kumpulan pemberontak adalah dalang sebenar.

Selain itu, Rusia gagal meraih undi majoriti di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) berhubung re­so­lusi mengecam serangan ke atas Syria.

Hanya China dan Bolivia yang mengundi dalam resolusi ber­kenaan.

Duta Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Vassily Nebenzia yang membaca petikan Presiden Vladimir Putin menyifatkan tindakan AS dan sekutunya sebagai satu penghinaan kerana enggan menunggu hasil siasatan berhubung insiden di Douma.

“Ketiga-tiga negara itu dilihat seolah-olah tidak menge­ta­hui atau memahami tentang undang-undang antarabangsa apa­bila melancarkan serangan ke atas Syria,” katanya.

Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) pula kini berada di Syria dan dijangka melawat Douma pada hujung minggu ini.

Duta Syria ke PBB, Bashar Jaafari pula menyatakan bahawa AS dan sekutunya merupakan pe­nipu dan hipokrit yang mengeks­ploitasi PBB bagi membolehkan mereka melaksanakan polisi campur tangan serta kolonisme.

Dalam pada itu, beberapa jam selepas melancarkan serangan, AS, UK dan Perancis melancarkan satu resolusi baharu di UNSCR untuk menyiasat serangan senjata kimia di Syria.

Resolusi itu turut mendesak bantuan kemanusiaan dapat disalurkan secara selamat, gencatan sejata diadakan dan menggesa supaya Syria mengadakan rundingan damai dengan dike­tuai oleh PBB.

Resolusi itu juga menyaksikan ketiga-tiga negara tersebut mendesak supaya siasatan bebas dilakukan bagi menyiasat insiden serangan kimia di Syria yang bertujuan untuk mencari dalang sebenar.

Rusia pada November lalu menggunakan kuasa vetonya sebanyak tiga kali untuk menolak resolusi PBB yang ingin menyiasat dakwaan tentera Syria melepaskan gas sarin di pekan Khan Sheikhun pada April tahun lepas.

Sementara itu, Perancis me­nge­luarkan amaran bahawa krisis kemanusiaan akan berlaku di bandar Idlib yang masih dikuasai kumpulan pemberontak.

Menteri Luarnya, Jean Yves Drian berkata, Idlib merupakan antara kawasan populasi pemberontak terbesar di Syria dan bandar itu dijangka menjadi sa­sa­ran tentera Syria selepas Ghouta Timur. – AGENSI