Agensi berita Xinhua me­laporkan wakil AS di PBB, Nikki Haley ketika debat terbuka Majlis Keselamatan berkata, sumbangan sebanyak 25 peratus AS kepada bajet anggota pengaman adalah tidak adil dan sumbangan kepada PBB bukan derma kebajikan.

Duta AS berkata, AS men­yumbang sebanyak 20 peratus kepada operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk 25 peratus daripada bajet belanjawan sebanyak AS$7 bilion untuk operasi pengaman PBB.

Haley menyifatkan sumba­ngan itu sebagai langkah AS ‘menyokong’ multilateralisme di PBB.

Sementara itu, Wakil Tetap Rusia di PBB, Vassily Nebenzia berkata, sesetengah negara berusaha mengekalkan ‘dominasi global mereka untuk mendapatkan keuntungan bagi satu pihak semata-mata’.

“Mereka mendakwa diri mereka sebagai multilateral tetapi dakwaan mereka adalah berdasarkan syarat yang ditetapkan mereka sahaja,” kata Nebenzia.

Bercakap pada perbahasan terbuka Majlis Keselamatan mengenai mengukuhkan multilateralisme dan peranan PBB, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres menyeru sistem multilateral diperbaharui, diperkuatkan untuk menangani cabaran global hari ini.